Pandu Uji

PANDU UJI: PERODUA MYVI 1.3G PSDA. MAHAL SIKIT, TAPI UNTUNG BANYAK

Antara kecaman yang biasa kami dapat bila memandu uji kereta baru ialah “mekanika memilih untuk pandu uji varian termahal sahaja”. Sebenarnya kami tak pilih pun, kami ambil daripada syarikat pengeluar kenderaan berdasarkan model apa yang ada disediakan. Kalau kebetulan ada varian termahal kami ambil, kalau yang varian termurah pun kami sapu.

Tapi bagi memenuhi kecaman jurutera wargamaya yang mahukan kami memandu uji varian termurah, maka kami berbesar hati memandu uji Perodua 2022 yang telah dinaiktaraf dengan transmisi D-CVT. Varian yang kami pandu uji ialah varian 1.3G PSDA yang berharga Rm 47,700. Varian tanpa PSDA berharga RM 45,700

Kalau dipandang dari aspek luaran, perbezaan yang ketara pada model Myvi 2022 ini ialah pada rekaan bampar depan dan belakang yang baru dengan mengetengahkan corporate design baru. Dari jauh anda boleh nampak muka depan Myvi ini menggunakan huruf X, sama seperti Aruz dan juga Ativa.

Lampu LED yang lama ditambah baik dengan lampu kecil menggunakan LED, lampu isyarat membelok diletakkan di bahagian dalam dan DRL hanya diberikan pada model 1.5H dan 1.5 AV sahaja. Sayangnya rekaan bampar belakang hanya diberikan kemasan plastik hitam menegak sahaja, kalau guna lampu reflektor menegak sama seperti Myvi SE generasi pertama mesti nampak mengancam

Varian 1.3G PSDA hanya mahal Rm 2000 sahaja jika dibandingkan dengan model 1.3G tanpa PSDA dengan memiliki aksesori dan kelengkapan yang sama. Sudah tentulah varian PSDA menerima sistem keselamatan yang lebih baik dengan teknologi sensing. Pada hemat kami, RM 2000 tambahan itu adalah sangat munasabah dan berbaloi

Bagi model 1.3G PSDA ia masih dikuasakan dengan enjin 1NR-VE DOHC 1300cc dual VVT-i yang mengasilkan 94 kuasa kuda dan 121Nm tork. Satu angka yang biasa sahaja KALAU DINILAI ATAS KERTAS. Aspek yang perlu dinilai ialah bagaiamana kuasa ini disalurkan dengan efisyen menerusi transmisi D-CVT serba baru berbanding generasi lama yang menggunakan transmisi 4 kelajuan automatik

Perubahan yang pertama boleh dilihat ialah unit DCVT ini berjaya membuatkan enjin bekerja dalam keadaan santai berbanding dengan unit 4 kelajuan automatik. Usaha yang boleh dipuji kerana D-CVT sebenarnya direka untuk cesi DNGA. Jadual di bawah menunjukkan halaju dan RPM enjin yang beroperasi

Jika dibandingkan dengan model lama 4AT, model 1.3G ini jauh lebih tenang untuk dipandu di lebuhraya dan mengekalkan penjimatan bahan api. Unit D-CVT akan memaksa enjin bekerja dalam julat yang paling efisyen (disebut sebagai Brake Spesific Fuel Consumption, BSFC) yang paling baik. Selepas melalui 170km perjalanan, Myvi ini hanya memerlukan 8.82liter petrol sahaja untuk memenuhi tangki petrol

Dalam erti kata yang lain, purata penggunaan bahan api ialah sekitar 19.5km bagi setiap liter tanpa penulis bersusah payah memandu dengan berhemah. Bacaan 19.5 itu diperolehi dengan kiraan secara manual, hanya jurutera Facebook yang tak pandai guna kalkulator sahaja yang ambil bacaan dari paparan meter.

Jika anda rasa angka penjimatan bahan api itu bagus, D-CVT juga menyumbangkan kepada prestasi yang lebih baik berbanding dengan unit 4AT terutama dari segi pecutan. Myvi 1.3 ini memecut dengan lebih baik ketika memulakan perjalanan atau ketika meningkatkan kelajuan dari 110km/j

Unit D-CVT seolah-olah membebaskan lebih banyak kuasa daripada enjin 1300cc ini menjadikanya lebih bertenaga. Sukar untuk bayangkan bagaimana Myvi dengan enjin 1.3 boleh dipandu laju melebihi 60km/j daripada halaju lebuhraya kebangasaan dengan senang. Disebabkan ia unit CVT, maka aspek gegaran langsung tidak dirasai dalam kabin. Tekan-tekan pedal, tahu tahu sudah laju

Walaupun kawalan D-CVT ini tidak secanggih Perodua Ativa yang datang dengan ciri shiftronic yang membolehkan pemandu mengawal 7 gear ratio, tapi pada hemat penulis kawalan yang disediakan untuk Myvi ini sudah mencukupi. Ia menawarkan pilihan D (Drive, wide ratio), S (Sport, untuk ratio pertengahan) dan B (Braking untuk ratio gear rendah). Masuk saja S atau B jika anda perlukan pecutan deras atau engine braking ketika menuruni bukit

Ketika myvi generasi ke 3 diperkenalkan dulu pada 2018, hanya varian 1.5AV yang berharga RM 55,300 menerima ciri ASA. Versi facelift 2020 menyaksikan varian 1.3X menerima ciri ASA dengan harga RM 47,000. Dengan tambahan sekitar Rm 700 sahaja bagi 1.3G PSDA (Perodua Smart Drive Assist) anda akan menerima:

1. ASA 3.0 – dengan ciri dinaiktaraf dimana kamera dengan ciri Artificial Intelligent berupaya menjalankan prosedur amaran pra-perlanggaran dan brek pra-perlanggaran dari halaju 4km/j sehingga 120km/j. ASA 3.0 boleh mengesan motosikal, pejalan kaki dan juga beroperasi pada waktu malam.

Ia merupakan satu peningkatan yang jauh lebih bagus berbanding ASA 1.0 yang hanya terhad pada halaju 30km/j, tidak boleh mengesan pejalan kaki atau motosikal, dan hanya boleh berfungsi 3 kali sahaja sebelum kereta perlu dihidupkan semula.

2. Driving Assist – merangkumi ciri Lane Departure Warning (amaran) dan Lane Departure Prevention (betulkan stereng masuk ke laluan asal). Sebagai perbandingan Toyota Yaris 1.5E dan 1.5G hanya menawarkan ciri Lane Departure Warning sahaja

3. Auto High Beam -bayangkan sebuah kereta kompak murah boleh menawarkan ciri Auto High Beam. Ia akan menyalakan lampu tinggi secara optimum tanpa menyebabkan pengguna jalan raya yang lain menjadi silau. Walaupun motosikal yang berselisih dengan anda, lampu tinggi akan dimatikan secara automatik. Jadi lampu kabus depan tidak lagi disediakan

Ketika dipandu pada halaju 120km/j, kabin Myvi 1.3G hanya mencatatkan bacaan sekitar 61dB sahaja, jauh lebih baik berbanding dengan versi lama. Bunyi angin daripada hadapan telah dikurangkan dengan penggunaan cermin depan dengan ciri Acoustic Glass. Hanya ada 2 bunyi sahaja yang kuat menerpa masuk ke dalam kabin yang berpunca dari bunyi tayar dan juga sambungan mekanikal sistem penyerap hentak

Tapi penyerap hentak rekaan baru bagi model ini lebih baik berbanding dengan model lama yang agak keras. Jika anda melalui bonggol jalan pada halaju 30km/j, cesi Myvi akan menghenjut dengan lembut. Jauh berbeza daripada penyerap hentak yang lama dan keras serta melantun-lantun

Secara asasnya aspek Noise, Vibration & Harshness berjaya dikurangkan dengan baik melainkan aspek harshness ataupun kekasaran. Jika melalui permukaan jalan yang kasar, tayar Bridgestone Ecopia 150 bersaiz 175/65 R14 menjadi bising. Tamabahan pula Perodua menetapkan tekanan tayar perlu diisi sehingga 250kpa rasanya bukanlah satu tindakan bijak

Ia menjadikan tayar keras meloncat, contact patch menjadi kecil dan menyebabkan pengendalian Myvi seperti ketam batu berjalan atas pasir. Penulis terpaksa menurunkan tekanan angin tayar kepada 210kpa di bahagian depan dan 200kpa di bahagian belakang bagi menstabilkan kenderaan. Bacaan petrol 19.5km/liter tadi dibuat dengan tekanan angin seperti di atas.

Mungkin tindakan Perodua menggunakan rim 14 dan tayar dengan kelebaran 175 adalah untuk penjimatan bahan api maksimum. Namun sedikit sebanyak ia merompak straight line stability pada varian 1.3G terutama ketika memandu laju. Anda boleh menukar tayar yang lebih lebar kepada 185mm nanti untuk kestabilan tambahan, menjadikan tindakbalas stering yang bagus dan pilih tayar dari jenama premium untuk lebih senyap

Anda boleh memandu Myvi 1.3G ini laju, tapi ia memerlukan fokus yang tinggi untuk kekal laju. Ia akan menyebabkan bahu, lengan, siku dan pergelangan tangan menjadi stress. Lama-kelamaan anda menjadi cepat penat untuk perjalanan jarak jauh. Halaju yang terbaik bagi Myvi 1.3 ini ialah antara 110-130km/j di mana dengan halaju ini anda boleh kekal tenang dan santai

Oh ya, varian 1.3 ini juga menerima ciri Eco Idle System (Start-Stop) sebagai ciri standard. Satu perkara bagi ciri ini pada kereta kompak ialah kekasaran dan gegaran enjin ketika kereta dihidupkan semula. Kadangkala boleh bergegar kusyen pemandu. Bagi versi 2022, masalah ini sudah menjadi sangat minima. Sangat susah untuk rasa gegaran ketika enjin beroperasi semula di lampu isyarat

Satu lagi perkara yang kurang memuaskan hati ialah kedudukan kusyen pemandu yang sedikit tinggi, walaupun telah direndahkan pada kedudukan paling rendah. Mata penulis tidak berada pada kedudukan yang selari dengan paparan meter. Tambahan pula perehat tangan seperti Perodua Bezza juga tidak disediakan walaupun melalui pakej aksesori.

Dalam aspek persembahan sistem audio, tiada apa yang boleh dipuji dengan 4 pembesar suara, satu sambungan USB untuk fail audio dan lagi satu sambungan USB untuk mengecaj peranti pintar. Jika anda hendak membeli model 1.3G ini, anda kena terima hakikat yang ia tidak meyediakan sambungan Bluetooth. Kalau anda kena saman, pandai-pandai la jawab dengan polis trafik.

Siapa suruh jawab panggilan telefon ketika memandu. Kebiasaanya pemilik akan segera menukar radio standard Myvi kepada pemain audio dengan android. Biasanya ia berharga antara RM 500-700 termasuk dengan kamera undur belakang. Mungkin ini kelemahan yang anda perlu terima disebalik kebaikan sistem PSDA.

Tapi sekurang-kurangnya Perodua membaiki suis penyaman udara. Butang memori diubah menjadi satu sahaja dan satu lagi butang menjadi butang OFF. Yang bijaknya, setiap kali anda menghidupkan penyaman udara ia akan menggunakan tetapan penyaman udara terakhir anda sebelum mematikan enjin kereta.

Bagi ciri keselamatan, Myvi 1.3G PSDA akan hadir bersama 4 beg udara, sistem kestabilan elektronik, brek ABS&EBD, 2 poin ISOFIX dan Hill Start Assist. Sebagai perbandingan Proton Iriz 2021 1.6 Executive CVT akan datang dengan 6 beg udara, lampu DRL, rim 16 inci, kusyen yang lebih ergonomik tapi tanpa Adavance Driving Assist dengan harga RM 47,100

Untuk memeningkan lagi kepala anda, Perodua Bezza AV datang dengan tanda harga RM 48,365. Ia menawarkan ruang kargo sebesar 508 liter (Myvi 277 liter sahaja) sangat sesuai untuk mereka yang baru berkeluarga tapi Bezza kalah dari segi bilangan beg udara, dinamik pengendalian, ergonomik dan hanya dipasang dengan sistem ASA 2.0 sahaja.

Berbalik semula kepada bakal pembeli Myvi 1.3G PSDA dimana Perodua memberi fokus kepada pembeli kereta pertama, pemilik yang mahukan sebuah kereta kompak kedua, mungkin dipandu oleh anak mereka untuk ke kolej, atau dihadiahkan kepada ibubapa. Mungkin juga boleh digunakan untuk memandu bagi perkhidmatan e-hailing.

Pendek kata medium pasaran pembeli Myvi 1.3G ini besar untuk kemudahan pengangkutan poin A ke poin B yang jimat, selamat dan luas. Jangan terkejut kerana ada je jutawan yang guna Myvi untuk pemanduan harian. Ingat mereka ada masa ke kalau Myvi selalu masuk bengkel. Kalau nak laju, pilih saja varian 1.5

Google ads
Back to top button