Motosikal

VALENTINO ROSSI BERSARA HUJUNG MUSIM?

Pelumba MotoGP legenda, Valentino Rossi akan mengumumkan keputusan masa depan dalam kancah sukan pemotoran pada musim panas kelak.

Beberapa sumber terdekat dengan Rossi memaklumkan pusingan keenam dan ketujuh di Mugello serta Catalunya merupakan masa sesuai membuat keputusan tersebut.

Begitupun, beliau menjelaskan sebaliknya ketika ditemuramah stesen televisyen Indonesia, Trans7.

“Selepas sembilan perlumbaan, kami akan menghadapi tempoh rehat musim panas dan saya rasa akan membuat keputusan berhubung tahun depan ketika itu,” katanya.

Tempoh rehat musim panas akan bermula selepas pusingan kesembilan di Assen dari 25 sehingga 27 Jun sebelum bersambung semula pada pusingan di Austria dari 6 hingga 8 Ogos.

Masa depan Rossi juga berkaitan dengan pemilihan enjin untuk pasukan miliknya, VR46 yang akan membuat penampilan sulung di MotoGP pada tahun depan.

Rossi mempunyai dua pilihan utama jika mahu terus berlumba, iaitu bersama pasukannya sekarang Petronas Yamaha atau beralih kepada pasukan miliknya, VR46 yang mungkin akan menggunakan enjin Ducati.

Beliau melalui prestasi yang tidak menentu setakat ini dan hanya menduduki tangga ke-19 kedudukan pelumba MotoGP dengan memungut sembilan mata. –crash/agensi

Google ads
Back to top button