
STERENG TERCABUT, TESLA (AKHIRNYA) GANTIKAN KERETA BAHARU BUAT PEMILIK MALANG
Nasib malang menimpa seorang pemilik Tesla Model Y bernama Prerak Patel, di mana beliau berdepan dengan insiden stereng tercabut sewaktu memandu kereta elektrik itu di atas sebuah lebuh raya.
Mujur tiada insiden buruk berlaku, dan beliau sempat mengendalikan situasi dengan baik.
Sudahlah kereta tercabut stereng, pihak Tesla Service Center pula mengenakan caj $100 untuk kos pembaikan.
Bengang dengan situasi tersebut, Patel terus mengambil tindakan dengan menghubungi sendiri CEO Tesla, Elon Musk menerusi ciapan di Twitter, dan mengepilkan sekali tangkap layar perbualan antara beliau dan pusat servis Tesla, serta bukti beliau dikenakan bil pembaikan atas kerosakan yang bukan berpunca daripada pemilik.
Pusat servis Tesla akhirnya menarik balik bil tersebut.
Patel menerusi akaun Twitternya mempertikaikan tindakan Tesla yang dilihat mengabaikan keselamatan pelanggan, dan meminta pendapat pengguna media sosial sama ada untuk menerima kembali Model Y yang telah dibaiki, atau meminta kereta serba baharu.

Setelah beberapa ketika, pihak Tesla akhirnya sudi memberikan sebuah kereta ganti kepada Patel.
Menurut Patel, Tesla akan membekalkan sebuah kereta ganti buat sementara waktu sementara menunggu kereta baharunya sampai.
Tesla juga dilapor akan membeli semula Model Y yang tercabut stereng itu dari Patel.
Namun dalam perkembangan terbaharu, Tesla menjelaskan tiada sebarang kecacatan terhadap kereta Model Y tersebut dan mereka hanya bertindak menggantikan kereta baharu ‘atas dasar muhibah’.
Setakat ini, tiada sebarang kempen panggil semula diumumkan berhubung insiden stereng kereta Tesla tercabut. – InsideEvs