MAIN REDAH TAMAN NASIONAL, PEMILIK SUBARU CROSSTREK DIBERI AMARAN KERAS, DENDA RM22K
Subaru sering memasarkan kenderaan mereka, terutamanya model Crosstrek, berdasarkan keselamatan dan keupayaan yang ditawarkan oleh sistem pacuan semua roda (AWD).
Namun, kebolehan off-road ini tidak diterima dengan baik oleh US National Parks Service (NPS), yang baru-baru ini mengeluarkan amaran kepada seorang pemilik Crosstrek kerana memandu di laluan terhad di Utah.
Insiden ini menekankan perbezaan kritikal antara sistem AWD dan sistem pacuan empat roda (4WD) sebenar, yang mungkin tidak difahami sepenuhnya oleh ramai pemandu.
Pemilik Crosstrek tersebut, yang dikenali dengan nama pengguna Reddit u/Greatbigdog69, berkongsi pengalamannya secara dalam talian, menjelaskan bagaimana dia berjaya menavigasi laluan di Taman Negara Canyonlands di Utah pada bulan Jun.
Walaupun berjaya menyelesaikan laluan tersebut tanpa sebarang masalah, dia kemudian menerima surat rasmi daripada NPS yang memberitahu bahawa dia telah memandu di kawasan terhad.
Jalan Colorado River Overlook di Daerah Needles di Canyonlands hanya dibenarkan untuk kenderaan 4WD, manakala Subaru Crosstrek miliknya, yang dilengkapi dengan sistem AWD, tidak memenuhi keperluan ketat NPS untuk laluan tersebut.
Surat tersebut memetic, mewajibkan bahawa hanya “kenderaan pacuan empat roda dengan jarak kelegaan tinggi” dibenarkan di jalan tertentu dalam taman tersebut.
Tambah NPS, Kenderaan ini mesti mempunyai ciri-ciri yang melangkaui keupayaan AWD.
Surat itu juga memberi amaran bahawa pelanggaran di masa depan boleh menyebabkan denda sehingga AS$5,000 (RM22,131), enam bulan penjara, atau penalti lain.
Amaran keras ini mungkin kelihatan keterlaluan, terutamanya memandangkan pemilik Crosstrek berjaya menyelesaikan laluan tersebut tanpa memerlukan bantuan.
Namun, tindakan NPS boleh difahami. Membenarkan kenderaan crossover seperti Crosstrek, yang tidak dilengkapi dengan sistem 4WD sebenar, untuk melintasi laluan sebegini boleh menyebabkan situasi berbahaya.
Pemandu kurang berpengalaman atau keadaan cuaca buruk boleh mengubah pengembaraan off-road yang kelihatan berjaya menjadi pengalaman merbahaya.
Menurut NPS, kenderaan 4WD didefinisikan sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) atau trak dengan rim tayar sekurang-kurangnya 15-inci dan jarak kelegaan tanah sekurang-kurangnya 8-inci.
Walaupun Subaru Crosstrek 2024 menawarkan jarak kelegaan tanah sebanyak 8.7-inci dan rim 17 atau 18-inci, ia gagal memenuhi kriteria 4WD.
Tidak seperti kenderaan 4WD sebenar yang membolehkan pemandu mengunci gandar depan dan belakang bersama-sama, meningkatkan cengkaman dalam keadaan off-road, sistem AWD Crosstrek direka khas untuk kegunaan di jalan raya dan tidak dapat menandingi keupayaan off-road sebenar kenderaan 4WD.
Subaru Crosstrek, meskipun dengan pemasaran yang hebat, tidak dilengkapi untuk menangani kawasan lasak seperti boleh ditangani oleh kenderaan 4WD sebenar.
Dengan pengalaman ini, adalah penting bagi pemandu untuk memahami batasan kenderaan mereka, terutamanya apabila meneroka kawasan off-road.
Peraturan NPS bertujuan bukan sahaja untuk melindungi alam semula jadi tetapi juga untuk memastikan keselamatan semua pelawat taman.