Buletin

SUBARU CROSSTREK WILDERNESS, MODEL TINGGI UNTUK HARUNG LALUAN LASAK

Meneliti barisan kenderaan Subaru yang ditawarkan di Amerika Syarikat menunjukkan penawaran menarik dan unik.

Ada pelbagai model dari sedan WRX, Impreza dan Legacy, coupé BRZ, kereta elektrik Solterra dan sejumlah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan crossover seperti Crosstrek, Forester, Outback dan Ascent.

Memang meriah dan Subaru pandai mengolah model sedia ada sebagai contoh Crosstrek 2024 yang mempunyai kaitan rapat dengan Impreza 2024.

Nama Crosstrek mungkin asing buat pengguna tempatan kecuali disebut XV. Pada 2022, Subaru menyeragamkan nama dan menggunakan Crosstrek sebagai panggilan tunggal.

Satu lagi strategi Subaru di Amerika Syarikat ialah menumpukan perhatian pada segmen lasak dan berada dalam niche tersendiri dan bertepatan dengan teknologi Symmetrical All-Wheel Drive yang dibawa.

Niche tersebut diangkat lagi melalui siri khas Wilderness dan ditawarkan pada Forester dan Outback.

Secara amnya, Wilderness diterjemah kepada model yang lebih rugged, tinggi dan aksesori tambahan.

Ahli keluarga siri ekstra lasak itu kini bertambah dengan penawaran Crosstrek Wilderness. 

Jika Crosstrek ditawarkan dalam dua pilihan enjin boxer 2.0 liter dan 2.5 liter , Crosstrek Wilderness pula diberi enjin tunggal 2.5 liter yang menghasilkan 182 kuasa kuda (hp) dan tork 241Nm.


Tidak sekadar menjual nama lasak, transmisi Lineartronic CVT diberi perhatian dengan nisbah baharu dan talaan semula.

Nisbah gear akhir ditukar dari 3.700 kepada 4.111 dan meningkatkan keupayaan mendaki. Talaan transmisi pula mengoptimumkan cengkaman pada kelajuan rendah dan permukaan licin.

Selain itu, kapasiti tunda maksimum meningkat lebih sekali ganda kepada 1,587 kilogram susulan penambahan penyejuk transmisi.

Dari segi penampilan, Crosstrek Wilderness tampil lebih rugged dengan pendakap badan dan jarak kelegaan bumi 9.3 inci berbanding 8.7 inci pada model asal. 

Selain itu, sudut sua dinaikkan dari 18 darjah kepada 20 darjah, sudut berlepas dari 30.1 darjah kepada 33.0 darjah dan sudut pelepasan tengah (ramp breakover angle) dari 19.7 darjah kepada 21.1 darjah.

Rim 17 inci dibuat dalam warna hitam kusam dengan tayar GEOLANDAR® AT dan logo Yokohama dalam warna putih.

Untuk bantuan pemanduan, Crosstrek Wilderness dilengkapi teknologi EyeSight® yang merangkumi  Advanced Adaptive Cruise Control, Pre-Collision Braking dan Pre-Collision Throttle Management.

Turut dilengkapi Lane Departure dan Sway Warning, Lead Vehicle Start Alert, Blind-Spot Detection dengan Lane Change Assist dan Rear Cross-Traffic Alert.

Satu lagi teknologi ialah Automatic Emergency Steering yang berfungsi dengan EyeSight dan Blind-Spot Detection bagi membantu kawalan stereng untuk mengelak pelanggaran di bawah kelajuan 80 km/j.

Reverse Automatic Braking pula memberikan perlindungan tambahan di laluan sempit dan semasa meletakkan kenderaan.

Subaru Crosstrek Wilderness 2024 ditawarkan pada harga AS$33,290 (RM146,782).

BACA: SUBARU OUTBACK WILDERNESS – MODEL SUBAR TERPALING LIAR

BACA: SUBARU FORESTER WILDERNESS – INI BARULAH SUV YANG SESUAI UNTUK MEREDAH BELANTARA

BACA: SUBARU IMPREZA 2024 – TIADA LAGI VARIAN SEDAN DAN MANUAL

BACA: SEMBANG SANTAI – SUBARU GC8 SI KERETA RALI CHEPOT

Google ads
Back to top button