Buletin

SUBARU LANCAR WRX STI TYPE RA-R DI JEPUN – 500 UNIT, HABIS DIJUAL DALAM MASA SEHARI SAHAJA!

Subaru telahpun melancarkan varian terbaharu WRX STI di pasaran Jepun.

Dikenali sebagai WRX STI Type RA-R, ia merupakan model lebih ekstrem yang dihasil bagi meraikan ulang tahun ke-30 Subaru Technica International (STI).

Memandangkan ia menjadi model tribut untuk STI, maka tidak hairanlah jika Type RA-R padat dengan prestasi.

Jentera itu kini menggunakan khidmat enjin empat silinder bersesaran 2.0 liter, corong pengambilan udara yang diperkukuhkan, talaan eksklusif dan sistem ekzos berprestasi tinggi.

Hasil modifikasi itu membolehkan enjin turbo tersebut menjana kuasa paling tinggi berbanding model STI lain iaitu 329PS, lebih 14PS daripada model WRX STI Type RA dan tork mencecah 432Nm. Ia juga 10kg lebih ringan berbanding WEX STI standard.

Bagi menawarkan prestasi terbaik, Type RA-R hadir dengan talaan suspensi unik bersama pegas gegelung dan peredam khas. Subaru juga memasang rim BBS bersaiz 18 inci yang dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S.

Dari segi gayaan pula, model itu dibezakan menerusi gril jenis sarang lebah, perumah cermin sisi gentian karbon dan antena shark fin berwarna hitam.

Subaru hanya menawarkan 500 unit, ketika artikel ini ditulis, semua unit tersebut dikatakan sudah habis dijual.

Tags
Google ads
Back to top button