Artikel Pilihan

SUBARU PERFORMANCE TRANSMISSION, GUNA CVT UNTUK MODEL WRX 2022

Model Subaru WRX memang sinonim dengan perlumbaan rali peringkat antarabangsa. Ketika pencabarnya iaitu Mitsubishi Evolution sudah dihentikan pengeluarannya, model WRX bagi tahun 2022 sudahpun ditayang dan bakal dijual tidak lama lagi walaupun beberapa perincian lain masih belum didedahkan sepenuhnya.

Antara pembaharuan yang datang bagi model baru ini ialah ia menggunakan platform serba baru yang dikenali dengan nama Subaru Global Platform. Ia merupakan platform yang sama digunakan bagi kebanyakan model Subaru termasuklah XV, Imprezza, Levorg dan Forester dengan ketegaran platform dinaikkan sehingga 28%.

Cagak pemasangan sistem suspensi juga dinaikkan sehingga 75% lebih kuat. Disertakan dengan platform ini ialah enjin F24F iaitu enjin boxer 4 silinder turbo dengan sistem wastegate kawalan elektronik. Enjin ini mampu menghasilkan 271 kuasa kuda pada 5600 RPM tapi operasi tork yang lebih lebar pada semua RPM

Tork maksima 350Nm boleh dijana seawal 2000 RPM sehinggalah 5200 RPM bagi membolehkan enjin ini menjadi responsif dalam semua keadaan. Secara perbandingan enjin ini lebih berkuasa dan lebih bertenaga berbanding dengan enjin F24D Normal Aspirated yag dipasang pada model BRZ

Jadi tidak hairanlah Subaru WRX menawarkan transmisi manual 6 kelajuan dengan tombol gear dipotong pendek bagi memudahkan gear dimasukkan dengan cepat. Tapi kena ingat Subaru pun ada peminat yang suka dengan transmisi automatik dan Subaru meraikan kepelbagaian peminat mereka dengan menghasilkan transmisi automatik dengan CVT

Ya CVT tuan-tuan, tapi ia sangat mengagumkan kerana CVT ini mampu digunakan untuk sebuah enjin turbo yang menghasilkan sehingga 350Nm tork. Tak semua pengeluar berani menghasilkan unit CVT prestasti tinggi untuk sebuah model sport mereka. Bagi meyakinkan peminat mereka yang CVT ini bukan biasa-biasa, ia tidak dipasarkan dengan nama CVT

Subaru memilih menggunakan nama pemasaran yang unik iaitu Subaru Performance Transmission. Antara ciri-ciri unik yang ada pada CVT ini ialah:

1. Ia dibekalkan dengan ciri paddleshift yang menawarkan 8 gear pilihan manual. Mungkin geng Vios GR boleh jalan berkepak sebab ada 10 gear manual yang wujud secara maya

2. Pilihan gear manual ini menawarkan penukaran gear 30% lebih pantas ketika menaikkan gear pada gear lebih tinggi dan 50% lebih pantas penurunan gear bagi menghasilkan brek enjin yang lebih efektif. Turut ditawarkan bersama ialah ciri “blip”atau rev-match yang membantu ketika menurunkan gear dalam keadaan agresif

3. Unit CVT ini akan datang dengan ciri sistem penyejuk khas untuk menyejukkan CVT ketika dipandu di litar atau ketika pemanduan agresif

4. Masalah rubber band yang biasa terjadi pada CVT biasa dihapuskan dengan talaan ECU shift logic yang lebih agresif (Advanced Shift Logic)

5. Sistem Subaru Power Transmission ini juga digabungkan dengan Subaru Symmetrical All Wheel Drive bagi cengakaman maksima untuk semua keadaan permukaan jalan

Pilihan manual 6 kelajuan

Walaupun sudah ditayangkan secara jelas di laman sesawang Subaru termasuk di Amerika, Subaru masih lagi tidak mengumumkan harga rasmi WRX 2022 ini. Tapi kami jangkakan harganya tidak murah kerana ia merupakan sebuah model sport yang ditala khas untuk prestasi tinggi.

Google ads
Back to top button