Motosikal

HONDA CBR1000RR-R FIREBLADE SP 30TH ANNIVERSARY DIPERKENAL!

Selain ADV350 yang diperkenalkan di pameran EICMA 2021, Honda turut mempertontonkan beberapa buah lagi model seperti CBR1000RR-R Fireblade, Fireblade SP dan Fireblade SP 30th Anniversary.

Di antara model yang menonjol ialah Fireblade SP 30th Anniversary sempena ulang tahun ke-30 motosikal ikonik itu.

Fireblade diperkenalkan pada tahun 1992 dan walaupun menghampiri usia 30 tahun ianya masih kekal menarik dengan bentuk yang tidak ditelan masa (timeless) selain daripada dua lampu berkembar di hadapan.

Skema tiga warna (tricolour) yang digunakan turut mengimbau kembali kenangan dengan grafik corak berus ala CBR900RR tahun 1992.

Lebih menarik jika corak asal disalin terus termasuk logo CBR namun ini sudah memadai.

Selain Fireblade SP 30th Anniversary, Honda turut memperkenalkan Fireblade SP 2022 dalam dua warna standard baharu iaitu Grand Prix Red dan Matte Pearl Morion Black dengan roda berwarna emas.

CBR1000RR-R Fireblade turut menggunakan Grand Prix Red tetapi dikontra dengan roda berwarna hitam.

Walaupun nampak sama, model 2022 berbeza dari segi spesifikasi teknikal enjin dengan fokus bagi mempertingkatkan pecutan di dalam selekoh (mid-corner).

Enjin 1000c Fireblade direka dengan input signifikan dari penunggang program pembangunan MotoGP HRC. Motosikal ini mempunyai kuasa 214 hp pada 14,500rpm dengan tork puncak 112Nm pada 12,500rpm.

Di antara perubahan yang dibuat pada model 2022 ialah port kemasukan direka semula bagi meningkatkan aliran dengan laluan kemasukan udara serta kotak udara turut disemak semula supaya sepadan.

Sistem ekzos 4-2-1 mempunyai reka bentuk baharu pada bahagian dua inci atau tengah untuk laluan gas lebih baik.

Gegancu (sprocket) kini bertambah tiga kepada 43 gigi yang mempertingkatkan pecutan pada setiap nisbah.

Tetapan perisian Honda Selectable Torque Control (HSTC) dipertingkatkan untuk cengkaman tayar belakang dan dibuat berdasarkan input dari penunggang HRC.

Bebanan spring (return spring load) untuk sistem Throttle By Wire diringankan bagi memberikan lebih rasa linear dan respon semasa pendikit dipulas.

Untuk tunggangan ada tiga mod iaitu Power (P), Engine Brake (EB) dan Wheelie (W) dengan tetapan bagi mengubah kuasa, brek enjin HSTC dan kawalan wheelie.

Fireblade juga mempunyai Start Mode dengan tetapan had putaran enjin dibuat pada 6,000 rpm, 7,000 rpm, 8,000 rpm dan 9,000rpm.

Walaupun pendikit dipulas lebih, penunggang boleh fokus pada pelepasan klac.

Selain prestasi kuasa, Honda turut mempertingkatkan sistem brek dengan menggunakan bahan dan kemasan permukaan baharu untuk brek depan Nissin pada model Fireblade.

Perubahan tersebut memberikan prestasi membrek yang lebih baik dan konsisten semasa tunggangan di litar.

Berkenan? Honda CBR1000RR-R Fireblade 2022 baru sahaja dipertontonkan di EICMA dan hanya akan diedarkan pada tahun depan.

Sementara itu CBR1000RR-R Fireblade yang dilancarkan pada Januari 2020 di negara kita dijual pada harga RM198,888.00.

BACA: HONDA NAVI DAH SIAP UBAH SUAI, CUN JUGA!

BACA: KERETA LUMBA CIVIC Si HONDA RESEARCH WEST, PEKERJA HONDA SENDIRI YANG BUAT!

BACA: NAK BELI ENJIN K20C1 CIVIC TYPE R? ADA DI AS, DARI RM28K SAHAJA!

BACA: KENALI C30A. ENJIN LAGENDA HONDA NSX!

Honda CBR1000RR-R Fireblade SP

Honda CBR1000RR-R Fireblade

Google ads
Back to top button