Artikel Pilihan

THE MARIGAWA CLUB – MINI NURBURGRING JEPUN UNTUK PEMINAT KERETA (YANG BERDUIT)

The Marigawa Club baharu sahaja dibuka di Chiba Prefecture, Jepun. Ia merupakan litar peribadi pertama di Asia tapi lengkap dengan fasiliti bertaraf dunia khusus untuk mereka yang berduit. Kalau tak cukup duit macam kami pun tak ada masalah asalkan ada kawan yang berduit untuk kita tumpang sekaki. Bijak tak strategi ni?

Clubhouse ini merupakan gabungan binaan Jepun moden dan tradisional lengkap dengan kolam air panas terbuka dan tertutup selain kolam renang sepanjang 82 kaki. Terdapat juga taman permainan untuk kanak-kanak, tempat jagaan haiwan peliharaan (anjing), trek kembara dan kawasan perkelahan.

Paling menarik sekali tentulah kereta-kereta yang bakal disimpan di sini. Sewaktu pelancaran kira-kira 500 buah jentera unik hadir untuk memerahkan acara. Antara jelitawan yang hadir ialah LaFerrari, F40, Enzo, 812 Superfast, Monza SP1, McLaren Elva dan P1, Valkrie, Jaguar E-Type, Ferrari J50 yang hanya ada di Jepun dan F50.

Bukan itu sahaja senarai berterusan dengan Toyota 2000GT, Lamborghini Sian, Bugatti Chiron, Lexus LFA dan macam-macam lagi model keluaran BMW, Fiat, VW dan Mercedes. Malah Citroen 2 CV pun turut hadir.

Pengunjung kemudian dihiburkan dengan aksi-aksi drift dari Toyota 86 selain perarakan dari kereta-kereta klasik yang berstatus lagenda.

Projek ini adalah hasil usaha Cornes & Company yang merupakan pengedar kereta mewah terbesar di Jepun dan mereka menawarkan 150 keahlian kelab untuk litar ini. Ia mempunyai 26 unit pit berhawa dingin dan ruang storan untuk 300 buah kereta.

Terdapat juga lima unit villa mewah dengan empat garaj kereta setiap satu tapi sudah habis terjual sebelum litar ini disiapkan lagi. Menurut sumber yuran keahlian untuk litar ini ialah sekitar USD234,000 (lebih RM1j)! Itu belum termasuk yuran tahunan lagi.

Menariknya sewaktu pembukaan penganjur menyedari yang mereka boleh menampung lebih ramai pengunjung jadi mereka terus mengeluarkan lebih banyak tiket dengan harga yang lebih rendah. Wow, macam mana dengan mereka yang telah membeli tiket lebih awal dengan harga yang lebih tinggi? Ini paling menarik, penganjur memulangkan balik lebihan harga tiket yang dibeli lebih awal.

Rasanya Marigawa Club ni memang ditadbir oleh peminat sejati automotif yang lebih berminat untuk berkongsi keseronokan dengan mereka yang sealiran daripada mencekik wang semata-mata. Tabik ah.

Kalau ada duit kami pun rasa nak buka satu litar macam ni kat Malaysia. Doa-doakan la ya.

Google ads
Back to top button