
SUBARU LEVORG SPECIAL EDITION “SMART EDITION” 1.8L TURBO, DARIPADA RM110 RIBU
Subaru masih setia dengan wagon dan boleh dilihat melalui Levorg generasi kedua yang diperkenalkan pada 2020.
Nama lain bagi Levorg ialah WRX Sportwagon atau WRX GT bergantung pada pasaran dan dilancarkan di negara kita sebagai WRX Wagon pada Mac lalu.
Berbekalkan enjin 2.4 liter FA24F turbo dan transmisi CVT, WRX Wagon dijual pada harga RM285,245.
Di Jepun ada banyak varian Levorg yang ditawarkan dari pilihan asas GT dengan enjin 1.8 liter CB18 turbo sehingga STI Sport R EX 2.4 liter turbo.
Kini ada varian baharu untuk Jepun iaitu Levorg Special Edition “Smart Edition” yang diasaskan dari Levorg GT dan GT EX yang menggunakan enjin 1.8 liter, transmisi CVT dan pacuan semua roda.
Apa yang istimewa? Levorg GT EX dilengkapi skrin maklumat tengah saiz 11.6 inci. Skrin itu menonjol dan mendominasi papan pemuka Levorg.
Kelengkapan utama lain seperti streng balutan kulit asli dengan sulaman perak, kelongsong lampu depan dengan bezel hitam dan hiasan perak, rim aluminium 18 inci warna hitam dan kilatan perak.
Kerusi pemandu mempunyai sepuluh larasan elektrik dan lapan untuk penumpang sisi. Turut dilengkapi set pedal minyak, brek dan perehat kaki aluminium.
Dari segi kuasa, enjin 1.8 liter menghasilkan 177ps dari 5,200 rpm hingga 5,600 rpm dan mempunyai tork tinggi 300Nm dari 1,600 rpm hingga 3,600 rpm.
Selain sistem bantuan pemanduan canggih EyeSight, Levorg lengkap dengan beg udara perlindungan pejalan kaki yang diletakkan di sebalik tukup enjin dan mengembang bila berlaku kemalangan.
Berkenaan harga, Levorg GT Smart Edition dijual pada harga 3,432,000 yen (RM110,636) dan 3,542,000 yen (RM114,167) untuk Levorg GT EX Smart Edition.
BACA: SUBARU CROSSTREK WILDERNESS, MODEL TINGGI UNTUK HARUNG LALUAN LASAK
BACA: SUBARU OUTBACK WILDERNESS – MODEL SUBAR TERPALING LIAR
BACA: SUBARU FORESTER WILDERNESS – INI BARULAH SUV YANG SESUAI UNTUK MEREDAH BELANTARA
BACA: SUBARU IMPREZA 2024 – TIADA LAGI VARIAN SEDAN DAN MANUAL
BACA: SEMBANG SANTAI – SUBARU GC8 SI KERETA RALI CHEPOT






