Buletin

SUMBANG MATA GANJARAN PETRON MILES ANDA UNTUK BANTU KELUARGA B40

Petron Malaysia bekerjasama dengan Yayasan MyKasih dalam program sumbangan “PetronMyKasih Jom Derma” yang memberi peluang kepada pemegang kad Petron Miles (PMiles) menderma mata ganjaran mereka untuk mencapai matlamat mulia.

Bermula 7 Mei hingga 31 Ogos 2021, setiap mata ganjaran PMiles yang disumbangkan akan ditukar kepada Ringgit dan diserahkan kepada Yayasan MyKasih. Melalui Yayasan tersebut, keluarga B40 boleh membeli bahan makanan dan barang keperluan dari lebih daripada 250  kedai runcit termasuk Mydin, Tesco, Giant, Econsave, The Store, Aeon, 99 Speedmart dan TF Value Mart.

Setiap 500 mata PMiles yang disumbangkan akan ditukar menjadi RM5. Sementara setiap 1,000 mata PMiles pula bersamaan RM10. Pelanggan boleh menyumbang RM5 dan RM10 secara berkali-kali melalui kaunter jualan di semua stesen minyak Petron. 

“Menggunakan kad PMiles untuk menyumbang adalah mudah dan senang kerana pelanggan kami boleh melakukannya setiap kali mereka berada di stesen minyak. 

“Mereka yang memberi sumbangan akan diberikan resit pengecualian cukai. Program ini dijalankan di semua stesen Petron seluruh negara,” kata  Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy..

Yayasan MyKasih adalah sebuah pertubuhan amal yang diluluskan oleh kerajaan. Sejak ditubuhkan pada tahun 2009, Yayasan ini telah menyalurkan sumbangan bernilai RM280 juta kepada lebih 300,000 isi rumah dan pelajar berpendapatan rendah di seluruh negara. 

Keberkesanan program MyKasih ini dapat dicapai melalui penggunaan sistem tanpa tunai dalam penyaluran dana. Program ini dijalankan menggunakan ciri keselamatan cip MyKad yang membolehkan dana sumbangan disalurkan dengan cara yang selamat, tersasar dan telus, terus kepada penerima yang sah melalui akaun MyKad mereka.

Maklumat lanjut mengenai Program Derma Petron Miles, sila layari www.petronmiles.com.my

Google ads
Back to top button