Buletin

SUSPEK BALING BATU DARI JAMBATAN KENA TAHAN

Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan polis kerana cuba mengulangi perbuatan membaling batu ke arah kenderaan dari jejantas lebuh raya di Jalan Wang Tepus menghala ke Bandar Darulaman Jitra, di Jitra, Kedah kira-kira pukul 1.45 petang pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, sebelum kejadian satu pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan Cawangan Pencegah Jenayah (CPJ) Balai Polis Jitra mengesan suspek menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam keadaan mencurigakan berhenti di atas jejantas tersebut.

Menurutnya, anggota polis terus menghampiri suspek selepas melihatnya mengambil sesuatu di dalam raga motosikal dan hasil pemeriksaan, polis menjumpai dua ketul batu di dalam raga kenderaan itu.

“Hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian membaling batu dari atas jambatan lebuh raya seperti laporan polis yang telah dibuat sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kubang Pasu pada Rabu.

Mengulas lanjut, Rodzi berkata, berdasarkan siasatan, suspek mengakui melakukan perbuatan tersebut disebabkan rasa tidak puas dan marah kepada pemandu-pemandu lori yang menghimpit motosikalnya sebelum ini.

Menurut beliau, hasil ujian air kencing dilakukan terhadap lelaki itu juga mendapatinya positif dadah jenis methamphetamine, selain suspek turut mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes jenayah dam dadah.

“Tangkapan dan rampasan barang kes telah dilakukan. Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Suspek juga kemungkinan akan disiasat di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya,” katanya. – SH

Google ads
Back to top button