Artikel PilihanModifikasi

SUSPENSI KERAS SEBENARNYA KURANG CENGKAMAN. SUSPENSI LEMBUT LEBIH CENGKAMAN

Salah satu cara untuk anda mengucar-kacirkan tetapan kereta anda ialah dengan melakukan eksperimen pada sistem suspensi atau penyerap hentak kereta anda. Tanpa pengetahuan yang cukup, segala eksperimen anda akan berakhir dengan sangat teruk, duit habis dan masa terbuang. Itulah yang terjadi pada penulis satu ketika dulu

Sistem suspensi kereta sebenarnya terdiri daripada 2 elemen, spring dan penyerap hentak. Spring ada 2 fungsi utama iaitu memastikan tayar sentiasa menyentuh permukaan jalan (mengekalkan cengkaman) dan memberikan keselesaan pada penumpang. Jika ada lubang, spring akan menekan tayar ke dalam lubang untuk memastikan cengkaman tayar

Jika ada bonggol, spring akan memastikan tayar bergerak ke atas, mengurangkan cesi bergoyang dan mengekalkan cengkaman tayar pada jalan. Jadi kenapa spring yang lembut boleh menawarkan cengkaman yang lebih bagus berbanding dengan spring yang keras?

Untuk memastikan anda faham dengan isu ini, bayangkan sebuah kereta yan langsung tiada sistem suspensi seperti go-kart. Tanpa spring, apabila anda melanggar bonggol di permukaan jalan go kart akan melantun ke atas dan hilang cengkaman dengan permukaan jalan buat seketika.

Kereta tanpa sistem suspensi adalah sama seperti dengan kereta yang dipasang dengan pekali spring yang sangat tinggi. Semakin keras spring, semakin tinggi pekali spring yang ada. Semakin susah untuk spring berubah bentuk.

Jika spring dilembutkan, pekali spring menjadi semakin rendah, ia semain mudah untuk ditekan, semakin mudah menyerap kecacatan permukaan jalan dan memberikan keselesaan pada pemandu serta menawarkan cengkaman yang lebih bagus.

Tapi adalah sangat susah untuk menetapkan kekerasan dan kelembutan spring pada satu titik yang optimal. Berdasarkan pengalaman penulis, hanya sestengah model Honda yang memiliki titik keseimbangan antara kekerasan spring dengan kelembutan. Proton pula antara pengeluar yang menawarkan “ride&handling” yang bagus, hasil dari tetapan spring dan suspensi yang bagus. Cuba pandu uji Saga, dan bandingkan dengan pesaingnya.

Sebaik sahaja pemilik merasakan suspensi mereka tidak menawarkan prestasi yang bagus, mereka cenderung untuk menukar spring kepada spring yang lebih keras terutama dengan penggunaan spring aftermarket yang berlambak-lambak dijual di pasaran. Spring yang keras akan menyebabkan tayar mudah hilang cengkaman di permukaan jalan tidak rata.

Bayangkan satu kereta yang dipasang dengan 2 spring, keras di belah kanan dan lembut di bahagian kiri. Kereta ini dipandu melalui satu lubang dengan kedalaman 20mm. Walaupun anda fikir tayar dengan spring keras akan bertindak terlebih dahulu, tapi realitinya tayar dengan spring yang lembut akan menyentuh bahagian dalam lubang tadi dahulu dan membekalkan cengkaman pada tayar dengan lebih pantas

Tayar dengan spring yang keras terpaksa bergantung pada graviti untuk memastikan tayar menyentuh permukaan jalan bila melalui lubang. Tapi pembaca mungkin tidak bersetuju dengan pendapat ini dan mengatakan spring keras biasa digunakan di litar. Mana mungkin litar ada lubang pada permukaan jalan

Ya, tapi bukan setiap hari anda akan memandu ke litar. Setiap hari anda akan memandu di jalanraya biasa di Malaysia yang kaya dengan pelbagai bentuk lubang dan lubang tersebut perlu menunggu PRU untuk dibaiki. Ini realiti keadaan jalan di Malaysia. Spring yang lembut akan menyerap segala lubang di permukaan jalan ini, dan membekalkan cengkaman mekanika yang lebih bagus berbanding spring keras.

Mesti ada orang tanya, kalau spring lembut bagus kenapa jentera F1 tak guna masa berlumba? F1 terpaksa menggunakan spring keras kerana faktor aerodinamik. Downforce yang dihasilkan oleh jentera F1 pada halaju tinggi akan menyebabkan jentera F1 mengalami bottom out (spring ditekan rapat).

Bagi memastikan fungsi aerodinamik jentera F1, spring yang keras digunakan kerana aerodinamik bergantung pada ketinggian yang tertentu untuk kekal efisyen. Situasi ini menjelaskan kenapa jentera F1 menggunakan spring yang keras pada sistem suspensi.

Keretayang dijual oleh pengeluar juga datang dengan kekerasan spring yang berbeza mengikut rekaan asal. Sebagai contoh Dodge Viper dan Dodge Challender Demon. Dodge Viper datang dengan pakej aerodinamik yang menawarkan downforce yang tinggi semasa dipandu laju. Jadi Viper dipasang dengan spring yang lebih keras

Dodge Challenger Demon yang direka sebagai kereta drag datang dengan spring yang lebih lembut berbanding Dodge Challender Hellcat. Tujuannya ialah untuk meningkatkan cengkaman mekanikal bagi mendapat pecutan yang bagus ketika berlumba.

Seperti biasa, anda boleh menonton video Engineering Explain bagi menjelaskan isu ini dengan lebih mendalam jika anda ada masa lebih sewaktu PKP ini.

Google ads
Back to top button