Buletin

SUV CHINA, LI XIANG ONE DENGAN TEKNOLOGI PHEV PALING CANGGIH!

Dalam peralihan teknologi automotif, dunia menyaksikan hybrid (motor elektrik+enjin) mendominasi pasaran sejak dekad lalu. Ia adalah transisi biasa dalam perkembangan teknologi. Misalnya, dulu bateri telefon bimbit ialah Nickel-Cadmium (Ni-Cd), kemudian Nickel Metal Hydride (Ni-Mh) dan akhirnya semua telefon hari ini sudah menggunakan Lithium-Ion (Li-Ion)

Transisi ini lazimnya adalah disebabkan kos. Semakin lama teknologi tersebut dibangunkan, ia akan jadi semakin murah.

Tapi, SUV dari China ini agak pelik kerana mereka berfikir di luar kotak jurutera automotif lazim. Pada mulanya, tidaklah kami berminat sangat nak mengulasnya tapi apa yang dibuat pada penjana kuasa SUV ini memang menarik untuk dibincangkan.

LI XIANG ONE

Namanya Li Xiang One. Ia diasaskan oleh individu bernama En. Li Xiang dan untuk nama Inggerisnya mereka menamakannya Leading Ideal.

Ia dikuasakan oleh enjin berteknologi Plug In Hybrid atau PHEV. Tapi, bukanlah sistem biasa seperti yang terdapat pada kereta-kereta PHEV dalam pasaran. Ia sebenarnya ialah kereta elektrik di mana motor elektrik tersebut membekalkan kuasa 326 kuasa kuda dan 530Nm.

Ia juga ada enjin pembakaran dalaman 1.2 liter turbo. Tetapi enjin empat selinder petrol ini bukanlah sebagai bertindak sebagai penjana sekunder untuk memacu roda, sebaliknya ia sebagai janakuasa yang bertugas mengecas bateri motor utama tadi.

Bijak kan? Ya. Kerana fokus utamanya ialah menghasilkan julat perjalanan maksimum untuk satu komposisi bateri. Menurut syarikat ini, SUV ini mampu mencatat perjalanan sehingga 700 kilometer menerusi ujian NEDC.

SUV ONE ini didatangkan dengan konfigurasi enam kerusi. Mereka mendakwa salutan kulit Nappa pada kenderaan ini diperolehi dari pembekal yang sama dengan BMW.

Bahagian dalamannya turut dilengkapi dengan panel skrin 12.3 inci bersama panel kawalan selebar 16.2 inci. Panel kawalan kenderaan pula berukuran 10.1 inci.

Ya. skrin besar dan canggih adalah satu perkara serius di China. Mereka berlumba-lumba menghasilkan yang paling besar, paling berwarna-warni, paling canggih.

Li XIang One juga dilengkapi dengan sistem autonomous Level 2. Menurut syarikat ini, ia dijual pada suku keempat tahun ini pada harga 400,000 Yuan atau sekitar RM242,000.

Siapa kata kereta China murah?

GALERI

Google ads
Back to top button