Buletin

BUGATTI CHIRON PERTAMA SELAMAT MENDARAT DI SINGAPURA

Wearnes Automotive dilapor telah menyerahkan hypercar Bugatti Chiron kepada seorang pelanggannya di Singapura sebelum sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Jentera tersebut akan disimpan di dalam kemudahan berhawa dingin Wearnes Automotive dan merupakan salah sebuah daripada 20 unit yang akan diserahkan kepada pelanggan di Asia mulai sekarang sehingga tahun 2020.

Hanya 500 unit Chiron dihasilkan dan 75 peratus daripadanya telah dibeli oleh pelanggan di seluruh dunia.

Pemilik Chiron dari Singapura itu dikatakan mahu keretanya dicat dengan dua warna biru, sama seperti Chiron original yang diperkenalkan pada acara Geneva International Motor Show 2016.

Bahagian kabin pula, pemiliknya memilih kemasan kulit Terre d’Or.

“Kami sedar minat pengguna terhadap hypercar semakin meningkat di Asia. Para pelanggan kami membentuk satu kelompok pengumpul kereta yang eksklusif dan mereka mahukan hanya yang terbaik.

“Selain menikmati eksklusiviti dan kuasa Bugatti, pelanggan juga melihat jentera ini sebagai satu bentuk pelaburan. Chiron ialah kereta yang akan meningkat nilainya,” kata Pengarah Urusan Prestige Division Wearnes Automotive, Victor Kwan.

Wearnes Automotive memegang hak francais Bugatti di rantau Asia Tenggara. Sejak dilancarkan pada tahun 2016, ia telah berjaya menjual 20 unit Chiron dengan 10 daripadnya terjual sepanjang tahun 2018.

Ini menjadikan Wearnes Automotive sebagai salah satu pengedar terbaik Bugatti pada tahun lalu.

GALERI

Google ads
Back to top button