Buletin

PROTON BUKA KILANG CKD DI PAKISTAN – JALIN KERJASAMA DENGAN ALHAJ AUTOMOTIVE

SHARE

Projek kilang pemasangan CKD bagi kereta-kereta Proton yang pertama di Pakistan secara rasminya dijalankan pada hari ini apabila Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, menandatangani plak marmar di satu majlis di Islamabad, Pakistan.

Kilang yang akan dibina di tapak Greenfield di Karachi itu dimiliki dan dikendalikan oleh ALHAJ Automotive, pengedar rasmi Proton di Pakistan. Ia dijangka operasi sebelum akhir tahun 2020.

Teroka pasaran luar

Pada tahun 2017, PROTON melancarkan strategi tujuh bintang. Pelan hala tuju jangka panjang itu mensasarkan untuk menjual 400,000 unit kereta menjelang 2027.

Antara langkah yang diambil untuk mencapai sasaran itu adalah dengan membina kilang pemasangan CKD di luar negara.  

Perjanjian bersama ALHAJ Automotive telah ditandatangani pada 29 Ogos 2018. ALHAJ kemudian dilantik sebagai pengedar tunggal kenderaan PROTON di Pakistan.

ALHAJ Automotive akan melabur sebanyak AS$30 juta (RM12 juta) untuk kilang tersebut. Ia dilihat bakal mewujudkan sebanyak 2,000 peluang pekerjaan dalam tiga tahun pertama operasinya.

Sebagai pengedar dan pemasang kenderaan terkenal, ALHAJ Automotive mempunyai pengalaman dan sumber-sumber yang diperlukan untuk mengurus serta meningkatkan jualan kereta PROTON.  

“ALHAJ Automotive akan memanfaatkan cawangan pengedar sedia ada di seluruh negara untuk mula menjual kereta-kereta PROTON. Pada masa sama membina sebuah kemudahan 3S/4S secepat mungkin.

“Perkara pertama yang akan kami lakukan ialah mendapatkan unit-unit CBU dari Malaysia sebelum menghasilkan produk CKD sebaik sahaja kilang pemasangan baharu ini beroperasi,” kata Pengerusi ALHAJ Automotive, Al-Haj Shah Jee Gul Afridi.

Tags
Google ads
Back to top button