Buletin

SELEPAS TYPE-R, GILIRAN NISSAN Z DAN GT-R PULA JADI HIBRID/ELEKTRIK?

Kalau sebelum ini timbul laporan bahawa generasi masa depan Honda Civic Type-R mungkin hadir dalam versi elektrik atau hibrid, nampaknya ia tidak akan keseorangan.

Sebabnya, Nissan juga didakwa sedang menimbangkan untuk menjadikan dua kereta sports mereka, Z dan GT-R dilengkapi rangkaian kuasa moden tersebut.

Kemungkinan itu disuarakan oleh Ketua Pegawai Perancangan Nissan, Philippe Klein selepas ditanya apakah langkah seterusnya untuk Z dan GT-R.

Menurut Klein, kereta berkuasa tinggi kini berdepan pelbagai garis panduan yang membuatkannya semakin sukar untuk kekal relevan dalam pasaran. Namun, Nissan mengakui pihaknya tidak mahu mengabaikan kedua-dua model itu begitu sahaja.

“Emosi kami serta pelanggan terhadap Z dan GT-R masih ada. Lagi pun, pengalaman pemanduan menjadi keutamaan kami.

“Justeru, cabaran utama sekarang adalah bagaimana untuk mengekalkan pengalaman itu dengan rangkaian kuasa elektrik dan hybrid itu.

“Saya tidak tahu pengalaman anda dengan EV, tetapi ia sebenarnya seronok untuk dipandu kerana keupayaan memecut dan titik gravitinya yang rendah,” kata Klein.

Ramai berpendapat Nissan tidak mempunyai masalah besar untuk merealisasikan projek tersebut. Ini keranan pakatannya dengan Renault dan Mitsubishi memiliki banyak teknologi canggih.  

Tags
Google ads
Back to top button