Buletin

SUZUKI PAMER MODEL KONSEP SUZUKI SWIFT, TRAK SUPER CARRY OFF-ROAD DI TOKYO AUTO SALON 2024

Ketika dunia teruja dengan penampilan Lancia Delta dan R5 Turbo Jimny oleh Damd yang akan debut di Tokyo Auto Salon 2024, Suzuki hari ini mengumumkan barisan model untuk dipamerkan di acara berkenaan.

Suzuki bakal mempamerkan Suzuki Swift supermini baharu yang telah ditala semula selain, adanya model Spacia Gear generasi akan datang serta trak Super Carry.

Bermula dengan supermini, Swift Cool Yellow Rev Concept bukanlah pratonton Swift Sport generasi seterusnya, tetapi versi tersuai model standard dengan livery istimewa.

Warna Cool Yellow Metallic digabungkan dengan grafik “Swift” pada profil, aksen kelabu gelap, perumah lampu depan dan satu set rim aloi berwarna hitam.

Walau bagaimanapun, tidak disebutkan sebarang peningkatan trenkuasa kerana konsep itu direka semata-mata untuk mengumumkan ketibaan generasi baharu hatchback kecil tersebut.

Seterusnya ialah Suzuki Super Carry Mountain Trail Concept, yang mungkin merupakan versi trak kei paling lasak.

Dengan kemasan warna kuning, ia diserlahkan lagi melalui aksen hitam di sekeliling badan selain pintu serta besi pelindung bahagian hadapan menggunakan tiub besi.

Sentuhan istimewa lain termasuk bar LED, rak bumbung, tayar all-terrain, serta pemasangan skid plate keluli pada bahagian bawah bampar depan.

Malangnya, konsep itu dijangka tidak akan ditawarkan di pasaran kerana matlamatnya adalah untuk membuktikan bahawa kenderaan komersial ringan boleh digunakan untuk aktiviti menyeronokkan selain bekerja.

Akhir sekali adalah Suzuki Spacia Papa Boku Kitchen yang kelihatan seperti pratonton Spacia Gear akan datang.

Ia kelihatan berbeza berbanding Spacia dan Spacia Custom, menggunakan gril gaya Jeep, livery berbilang warna serta didatangkan dengan ruang dapur khusus yang diletakkan di dalam ruang bagasi di belakang tempat duduk belakang.

Menurut Suzuki, ruang dapur tersuai adalah untuk membawa lebih keseronokan kepada pengguna ketika melakukan aktiviti perkhemahan.

Selain tiga pameran utama, Suzuki juga bakal mempamerkan kenderaan lain termasuk Swift, Spacia, Spacia Custom, Super Carry, dan Solio Bandit.

Google ads
Back to top button