" "
Buletin

SUZUKI SWIFT 2024 DIPERKENAL UK, 1.2L MILD HYBRID, PACUAN 4 RODA AUTOMATIK

Suzuki Swift generasi keempat diperkenal di Jepun pada November dan kini giliran United Kingdom (UK). 

Reka bentuk Swift kekal membawa identitinya dan dipersembahkan dalam gaya yang segar.

Swift mempunyai tugas besar untuk mempertahankan ciri-ciri yang menjadikannya kegemaran ramai orang.

Swift dijual di 169 buah negara dan rantau dan jualan sehingga Oktober 2023 telah melepasi angka sembilan juta unit.

Swift juga banyak memenangi anugerah sejak diperkenalkan sebagai model antarabangsa pada 2004.

Suzuki Swift Hybrid 2023

Walaupun mengekalkan identiti sebuah Swift, perincian seperti tukup clamshell dan bersambung dengan garis bahu menonjolkan permainan perekanya.

Reka bentuk jeriji yang nampak konvensional pula diserikan dengan lampu nyalaan siang bentuk J atau L. Bahagian belakang juga ringkas dan diserlahkan dengan nyalaan lampu bentuk C.

Untuk pasaran UK,  ada lapan warna tunggal dan empat dua tona ditawarkan termasuk warna baharu Frontier Blue Pearl Metallic dan Cool Yellow Metallic.

Warna Frontier Blue Pearl Metallic adalah tambahan kepada Burning Red Pearl Metallic yang tampil menawan dengan tona gelap dan terang ala warna candy.

Kedua-dua warna itu mempunyai tiga lapisan dan hasil boleh dilihat pada tekstur dan rona yang berkilauan.

Bahagian dalam pula tampil sibuk dengan bentuk dan garis pelbagai arah dan tidak mengikut gaya semasa yang ringkas seperti kenderaan elektrik (EV).

Bahagian tengah papan pemuka dicondongkan kepada pemandu dan diserlahkan dengan skrin sentuh definisi tinggi berukuran sembilan inci.

Skrin itu boleh dihubungkan dengan Apple CarPlay®, Android Auto™, Wi-Fi dan Bluetooth® dan dioperasi melalui pengecaman suara dan memaparkan pelbagai maklumat kenderaan.

Suzuki menggunakan tema dua warna iaitu hitam dan kelabu cerah pada papan pemuka dan panel pintu depan selain riasan perak gelap dan juga corak atau tekstur yang membangkitkan kesenian Swift baharu.

Dari segi keselamatan, kereta ini dilengkapi Dual Sensor Brake Support II (DSBS II) dengan sokongan radar gelombang milimeter dan kameran monokular.

Sistem itu mampu mengesan kenderaan, basikal dan pejalan kaki di depan kereta dan membantu dalam mengelak pelanggaran depan, pepenjuru dan sisi.

Sistem berfungsi dengan memberi amaran audio dan visual serta pembrekan automatik bergantung kepada keadaan dan risiko pelanggaran.

Satu lagi fungsi ialah Bantuan Pengekalan Lorong (LKA) yang sangat membantu dalam laluan sesak.

Turut dilengkapi Sistem Pengawasan Pemandu (DMS) yang beroperasi melalui kamera pada panel meter kereta dan mengawasi mata dan muka pemandu.

DMS akan mengeluarkan bunyi penggera dan memaparkan pesanan pada skrin sekiranya sistem mengesan pemandu hilang tumpuan atau tidak memberi perhatian pada jalan raya.

Sebagai contoh pemandu mengantuk, tertidur dan mata memandang ke arah lain.

Lagi teknologi pada Swift seperti Pencegahan Tersasar Lorong (LDP), Kawalan Suai Pandu (ACC), Monitor Titik Buta (BSM), Pengecaman Isyarat Trafik (TSR), Peringatan Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan eCall.

Swift baharu masih lagi kekal sebagai kereta janaan enjin pembakaran dalaman dan tidak bertukar kepada EV.

Enjin 1.2 liter tiga silinder dipadan bersama sistem mild hybrid 12V bagi memberikan penjimatan bahan api, pengurangan emisi dan tujahan lebih tinggi pada kelajuan rendah.

Sistem hibrid juga menukar tenaga kinetik yang dijana semasa nyahpecut dan menyimpannya di dalam bateri litium-ion dan membantu enjin semasa memecut untuk penjimatan bahan api lebih tinggi.

Satu lagi yang menarik ialah sistem pacuan empat roda automatik ALLGRIP AUTO. Pacuan empat roda diaktifkan secara automatik apabila sistem mengesan roda depan hilang cengkaman.

Daya kilas dihantar kepada roda belakang untuk memberikan tambahan cengkaman sebagai contoh di laluan yang diliputi salji atau permukaan licin.

Selari dengan perkembangan semasa, Swift baharu juga canggih dengan aplikasi telefon pintar SUZUKI CONNECT yang turut boleh dipaparkan pada skrin papan pemuka.

Sistem itu mempunyai pelbagai fungsi seperti pengesanan lokasi parkir, sejarah pemanduan, had lokasi dan peringatan masa, pemakluman keselamatan dan pelbagai lagi.

Swift baharu akan mula dijual di UK pada musim luruh 2024 (Mac – Jun).

BACA: JUALAN SUZUKI CECAH 80 JUTA UNIT, ALTO PALING LARIS!

BACA: SUZUKI TANDATANGAN PERJANJIAN DENGAN SKYDRIVE, KELUARKAN KERETA TERBANG!

BACA: DAIHATSU, TOYOTA DAN SUZUKI BAKAL PERKENALKAN VAN KEI ELEKTRIK – TAWAR JARAK GERAK 200KM

BACA: TAHUKAH ANDA? SUZUKI DAH JUAL 25 JUTA KERETA DI INDIA!

BACA: TAHUKAH ANDA? DAH 4 JUTA ENJIN SANGKUT SUZUKI KELUARKAN!

Google ads
Back to top button