Pandu Uji

Suzuki Swift 1.4L – CBU RM77,888

Jentera kompak Suzuki ini tampil dengan pelbagai bentuk penambahbaikan. 

Tanpa ragu lagi, kelibat Suzuki Swift versi terbaharu bakal kelihatan di jalan-jalan raya negara dalam jangka masa terdekat. Ia menjadi kereta keluaran massa pertama dilancarkan tahun ini di Malaysia. Model serba baru ini bersedia untuk kembali menakluk imaginasi penggemar kereta kompak tempatan.

Berdasarkan kepada kejayaan model terdahulu, versi terbaru ini lebih mengkagumkan. Dibangun atas rekaan serta platform serba baru, ia dilengkapi enjin lebih kecil berbanding model sebelumnya. Kali ini, Swift tampil dengan enjin berkapasiti 1.4 liter (sebelum ini enjin 1.5L). 

Seperti dijelaskan oleh Pengarah Urusan Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd. (SMA),  Keiichi Suzuki, model ini akan meletakkan Swift selangkah ke hadapan jika dibandingkan dengan model pesaing. 

“Kapasiti enjin yang lebih kecil adalah untuk memberikan penjimatan petrol  kepada pengguna. Pada masa yang sama, prestasi dan aspek pemanduannya menjanjikan sesuatu  yang akan memuaskan pemiliknya. Terutama bagi mereka yang berjiwa muda,” ujar Keiichi. 

Model ini dipadankan dengan sistem transmisi automatik 4 kelajuan dan bukannya CVT sebagaimana yang ditawarkan untuk pasaran Thailand. Kotak gear itu mampu memberikan lebih respon kepada mereka yang mengutamakan aspek pemanduan. 

Bagi tempoh awal ini, Swift akan diimport terus dari Thailand dalam bentuk CBU dan dijual pada harga permulaan RM77,888 seunit. Namun, versi pemasangan tempatannya (CKD) dijangka bermula pada Mac depan di fasiliti milik DRB-Hicom di Pekan, Pahang. 

Sebagaimana kita sedia maklum, jika perkara itu berlaku, tanda harganya juga akan menjadi sedikit rendah berbanding varian CBU. 

Melihat sendiri fizikal dan perincian model ini pada majlis pelancarannya Khamis lalu, ia tampil dengan gaya dan kualiti yang meyakinkan. Paling ketara adalah perincian pada bahagian dalaman. 

Setiap perkara ditata dengan kemas. Antaranya papan pemuka dengan butang kawalan yang menyerlahkan sentuhan minimalis dan bergaya. Begitu juga paparan meter ‘glow’ yang melahirkan ambien elegan dengan kombinasi warna latar hitam dan perak. 

Ia tentunya mewarisi setiap ciri dinamik yang pernah ada pada Swift terdahulu. Pastinya kali ini dengan penambahbaikan dari pelbagai aspek untuk kepuasan pemilik. 

Sebagai contoh, sistem stereng terbaru yang dibangunkan untuk maklum balas lebih tepat, casis diperkukuh, suspensi lebih mantap untuk kendalian di selekoh tajam. Semua cirri itu kemudian dipadankan dengan sistem brek cekap serta peralihan gear yang lancar. 

Setakat ini, ia sememangnya model kereta kompak terbaru yang paling lincah di jalan raya Malaysia. Setuju?

[hr top]

Spesifikasi Suzuki Swift  

Enjin:  K14B 1,372cc DOHC, VVT

Kuasa maksimum: 95PS @ 6.00rpm (versi terdahulu 101PS @ 6,000rpm)

Tork maksimum: 130Nm @ 4,00rpm (versi terdahulu 133Nm @ 4,000rpm)

Transmisi: Automatik 4 kelajuan

Kapasiti tangki minyak: 42 liter

[hr]

Gallery

[hr_invisible]


[hr]

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button