Buletin

SUZUKI SWIFT GENERASI KE-5 LANCAR TAHUN DEPAN. 2 PILIHAN ENJIN, MUNGKIN GUNA PLATFORM BAHARU

Suzuki dijangka memperkenalkan Swift generasi baharu pada pertengahan tahun 2022. Memetik laporan media Jepun Best Car Web, Swift generasi kelima itu akan menerima banyak penambahbaikan.

Antara paling utama ialah penggunaan kerangka yang telah dinaik taraf atau mungkin platform baharu sepenuhnya. Suzuki akan menawarkan sekurang-kurangnya dua pilihan anjin.

Enjin empat silinder 1.2 liter aspirasi biasa dan enjin empat silinder mild hybrid bersesaran 1.2 liter didakwa mampu menjanjikan penjimatan bahan api serta penjimatan terbaik berbanding enjin sedia ada.

Varian Swift Sport juga bakal diperkenalkan. Best Car Web mendakwa jentera berkenaan akan dikuasakan oleh enjin turbo 1.4 liter tetapi ditambah baik dengan kuasa mencecah 138hp dan tork 230Nm. Model Swift Sport dijadual tiba pada tahun 2023.

Suzuki juga akan melengkapkan Swift serba baharu dengan rangkaian ciri keselamatan aktif dan pasif.

Dari segi visual, Swift serba baharu pasti berkongsi bahasa rekaan model terkini dan perkadaran sama. Namun, rekaan itu mungkin lebih beralun dan lembut, sekali gus membuatkan penampilannya lebih premium.

Lima bulan lalu, Suzuki melancarkan Swift facelift untuk pasaran Eropah. Hadir dengan beberapa penambahbaikan visual, hatchback itu terus menggunakan khidmat enjin 1.2 liter berkuasa 82hp dan tork 107Nm.

Manakala sistem pacuan empat roda AllGrip ditawarkan sebagai pilihan pada varian SZ5.

Google ads
Back to top button