Buletin

HONDA PERKENAL DUA PAKEJ AKSESORI UNTUK HR-V 2021. BOLEH PILIH URBAN STYLE ATAU CASUAL STYLE

Honda baru sahaja memperkenalkan model terkini SUV popularnya, HR-V. Tanpa membuang masa, Honda menawarkan pula bodykit yang menarik untuk dipilih oleh para pelanggan.

Dikenali sebagai Vezel di pasaran Jepun dan akan mula dijual pada Mac, reka bentuk jentera baharu itu menerima maklum balas berbeza. Ada yang menyatakan bahagian hadapannya tidak jauh berbeza dengan Mazda CX-30 dan MG ZS.

Namun, harus diakui bahawa rekaan baharu itu lebih kemas berbanding model terdahulu. Lagipun, pelanggan kini boleh memilih daripada tiga bodykit original daripada Honda bagi disesuaikan dengan personaliti masing-masing.

Honda mengesahkan kemasan “Play” akan tampil dengan skema cat dua tona. Tidak cukup? Ada dua rangkaian aksesori ditawarkan untuk meningkatkan lagi gayaan bahagian luarannya.

Aksesori tulen itu hadir menerusi pilihan Urban Style dan Casual Style. Urban Style diserlahkan menerusi kemasan krom pada bampar hadapan dan belakang serta garnish sisi.

Bagi mereka yang mahu lebih kasual, anda boleh memilih bampar dengan kemasan berwarna gangsa. Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh memasang spoiler belakang dan perumah cermin sisi yang kelihatan lebih sporty.

Tiada yang padu sangat pun, tetapi ia mungkin cukup untuk menyuntik sedikit kelainan ke atas SUV yang diinspirasikan daripada rekaan coupe itu.

Honda bagaimanapun masih belum mengumumkan harga aksesori berkenaan. Harga Vezel baharu pun belum ada.

Pasaran Jepun bakal menerima Vezel yang dilengkapi enjin DOHC i-VTEC bersesaran 1.5 liter bersama sistem hibrid yang boleh dicaj sendiri. Manala untuk Eropah pula, rangkaian kuasa hibrid akan menggantikan varian diesel dan petrol yang ada sebelum ini.

Masih belum pasti adakah aksesori ini akan ditawarkan oleh Honda Malaysia apabila HR-V baharu diperkenalkan nanti. Korang nak ke?

GALERI

Google ads
Back to top button