Buletin

MAZDA JENAMA TERBAIK 2020. KALAHKAN BMW DAN PORSCHE – CONSUMER REPORTS

Apa yang boleh membuatkan sesebuah jenama kenderaan itu sebagai terbaik? Adakah sebab harga, kebolehpercayaan, ciri-ciri standard, keselesaan atau prestasi?

Ini merupakan satu persoalan sukar kerana ia perlu dinilai dari pelbagai sudut dan melibatkan citarasa orang ramai yang subjektif. Justeru, Consumer Reports cuba untuk menjadi seobjektif mungkin dan memilih jenama terbaik berdasarkan kepada beberapa pemboleh ubah.

Hasilnya, kajian terkini Consumer Reports menobatkan Mazda sebagai jenama terbaik tahun lalu dengan 80 mata. Sekali gus mengalah pelbagai jenama mewah lain seperti Porsche (76 mata), Mercedes-Benz dan BMW (78 mata).

Skor keseluruhan Mazda ditentukan menerusi mata yang dikumpul daripada ujian di atas jalan, anggaran ketahanan, kepuasan pelanggan dan keselamatan. Apa yang membantu Mazda naik tiga anak tangga dalam kaji selidik itu ialah peningkatan dari segi skor kebolehpercayaannya.

Mazda masih mampu mencatat markah paling tinggi walaupun model CX-3 kurang memuaskan hati panel juri Consumer Reports. Tetapi, mereka tetap mencadangkan semua tujuh model yang ditawarkan oleh Mazda di pasaran.

Di tempat kedua ialah BMW yang naik enam anak tangga. Keputusan tersebut banyak dibantu oleh skor ujian di atas jalan raya. Subaru mengekalkan kedudukan di tempat ketiga, manakala Porsche terpaksa berpuas hati di tempat keempat. Jenama Jerman itu jatuh empat anak tangga berbanding tahun lalu.

Honda berjaya menempatkan diri di kelompok lima teratas apabila naik sebanyak 10 anak tangga. Penambahbaikan dari segi ketahanan nyata membantu Honda untuk mengembalikan kepercayaan pengguna terhadapnya.

Genesis, Lincoln dan Kia pula jatuh ke tempat 13, 15 dan 10 kerana masalah anggapan kebolehpercayaan.

Google ads
Back to top button