,
BuletinMotosikal

SUZUKI VINTAGE PARTS – PROGRAM ALAT GANTI MOTOSIKAL LAMA OLEH SUZUKI

Jika ada satu jenama yang unggul mempertahankan model-model lamanya, Suzuki harus diberi pujian. Mereka ada program Suzuki Vintage Part, divisyen yang memberi sokongan kepada perolehan alat-ganti motosikal Suzuki klasik, lama dan olskool.

Ia bermula di Britain di mana pada tahun ini Suzuki’s Vintage Parts Programme merupakan penaja utama acara Endurance Legends di Donington Park.

BACA: SUZUKI KATANA, SENJATA IKONIK JEPUN

Pasukan Suzuki Klasik bakal berentap dalam perlumbaan lagenda klasik dengan menggunakan Suzuki Katana tetapi tulang belakang pasukan ini ialah Suzuki’s Vintage Parts Programme.

Program ini sentiasa berkait dengan pasukan tetapi hanya pada tahun lepas mereka mula mengambil tempat sebagai penaja utama dan rakan kongsi. Tahun lepas juga menyaksikan Michael Dunlop memenangi perlumbaan superbike Classic TT menggunakan motosikal replika XR69 Team Classic Suzuki.

MOTOSIKAL PERLUMBAAN SUZUKI KATANA

Malah motosikal Katana pasukan ini juga dihasilkan untuk perlumbaan dan menggunakan pelbagai alat-alat ganti perlumbaan. Namun mereka masih bergantung kepada Suzuki’s Vintage Parts Programme, selain menggunakan beberapa komponen standard seperti aci sesondol, conrod, bearing-bearing utama yang masih boleh didapati daripada Suzuki.Program ini dilancarkan pada tahun 2013 dengan model permulaan ialah Suzuki RGV250K/L yang ikonik sebelum diikuti oeh model lagenda GT750 ‘Kettle’.

Selepas itu, senarai motosikal di bawah program itu menjadi semakin panjang termasuklah GSX-R750F yang telah direstorasi oeh Suzuki sempena ulang tahun ke-30 model tersebut menggunakan alat-alat ganti baharu yang masih ada dalam simpanan pengeluar Jepun itu.

Model-model lain termasuklah GS1000, GT250 X7 dan AP50. Program itu juga dikembangkan lagi kepada model-model klasik tahun 90-an seperti GSX-R1100K/L dan TL1000S pada tahun 2014.

Malah Suzuki telah memasang TL1000S secara langsung di pertunjukan Motorcyce Live 2014 untuk menunjukkan komitmen mereka kepada model-model lama, selain untuk memberitahu yang motosikal-motosikal tersebut masih mempunyai stok alat ganti baharu yang banyak.

Tim Davies, penyelaras selepas jualanSuzuki England berkata, program ini sememangnya sangat berjaya. Jumlah peminat motosikal yang membeli motosikal lama dan merestorasinya semakin meningkat dan mungkin kerana sesetengah model itu adalah model yang diminati mereka sewaktu masih remaja.

Mereka juga mengambil kira pendapat peminat di dalam forum-forum internet yang menyatakan kesukaran mendapatkan alat ganti kerana jumlahnya yang berkurangan dan kos yang semakin meningkat akibat permintaan yang tinggi.

Program ini dilancarkan untuk memberitahu peminat yang masih banyak alat ganti tulin untuk Suzuki lama boleh didapati dan dengan harga yang kompetitif.

Ia juga bertujuan membantu pemilik dalam proses restorasi motosikal mereka dengan cara yang betul. Jadi mereka telah mengambil gambar baharu untuk setiap alat ganti di bawah program ini, memasukkannya ke dalam senarai dan membuat buku panduan yang boleh dimuat turun untuk membantu para pemilik.

Program ini semakin berjaya dan mendapat tempat bila lebih ramai peminat tahu tentangnya dan menyedari yang mereka masih boleh mendapatkan alat ganti untuk motosikal lama.

Dengan lebih banyak model yang tersenarai, ia membolehkan Suzuki menambah pelaburan ke dalam program ini selain mengekalkan saat indah pemilik bersama motosikal mereka.

Program ini juga semakin berkembang dengan hampir 10,000 alat ganti. Selain itu mereka juga mempunyai sembilan pengedar khusus untuk alat ganti motosikal klasik sahaja.

Tim menyatakan yang hampir kesemua kakitangan yang terlibat dengan program tersebut turut mempunyai model-model klasik Suzuki yang sedang direstorasi termasuk beliau sendiri yang mempunyai RGV250P dan GSX-R750WN, malah pengurus besar mereka, Paul de Lusignan turut mempunyai dua buah model lagi iaitu Suzuki DR Big dan GT550.

Itu tidak termasuk kakitangan lain yang mempunyai model-model seperti Street Magics sehinggalah RG500 MK8.

Malah masih ada banyak lagi model yang bakal ditambah ke dalam program ini tetapi menurut Tim, ia bukan bermaksud tidak ada langsung stok untuk model-model tersebut.

BACA: SUZUKI GSX-R600 TIBA 2019

Jika anda mempunyai sebuah Suzuki dan tidak berada dalam senarai, buat sahaja satu senarai dan hantarkannya kepada pengedar Suzuki UK dan mereka akan mendapatkannya untuk anda.

Untuk maklumat lanjut tentang Suzuki’s Vintage Parts Programme, anda boleh berhubung dengan laman web mereka. (tapi janganlah mintak Suzuki RG Sport dan Suzuki Best pulak)

 

 

 

Tags
Google ads
Back to top button