Buletin

SUZULIGHT – MODEL PERTAMA YANG MENJADI PENCETUS KEJAYAAN SUZUKI

Suzuki Motor Co, Limited ditubuhkan pada tahun 1954. Pengasasnya, Michio Suzuki mula mereka dan membangunkan kereta pertama Suzuki bersama menantunya, Shunzo yang mengetuai sepasukan jurutera muda.

Berpegang kepada prinsip Suzuki iaitu ‘Yaramaika’ (bermaksud ‘Just do it’), Shunzo pantas membuat kajian ke atas kenderaan-kenderaan yang dihasilkan di luar negara.

Pengetahuan yang ditimba itu menjadi asas untuk membina kereta pertama Suzuki, dikenali sebagai Suzulight. Shunzo menjadikan beberapa model kereta Eropah, termasuklah Austin 7 buatan Britain yang begitu mampu milik ketika itu sebagai penanda aras.

Suzulight ialah sebuah kereta kompak dan ringan (kurang 500kg) yang direka agar mudah selenggara, dipandu dan murah.

Digerakkan oleh enjin bersesaran 360cc dan berkuasa 16PS, enjin dua lejang dua silinder cukup maju pada zamannya. Ia juga dipasang dengan suspensi pegas gegelung bebas dan stereng jenis rack and pinion.

Dengan dimensi hanya 2,990mm panjang, lebar 1,295mm dan tinggi 1,400mm, Suzulight mudah untuk memenuhi peraturan model kei kar yang ditetapkan oleh kerajaan Jepun.

Shunzo tidak mengambil masa yang lama untuk memulakan ujiannya. Sebagai sebuah kereta prototaip, pemanduan pertama melibatkan satu perjalanan jauh mengharungi laluan berbukit di Hakone yang terletak di antara Hamamatsu dan Tokyo.

Laluan itu dikatakan cukup mencabar kerana tiada jalan yang berturap. Walaupun tiba di Tokyo pada lewat malam, pasukan jutera Suzuki berjaya menyerahkan kereta tersebut kepada Presiden Yanase atau pejabat automotif Jepun.   

Presiden Yanase dilaporkan sanggup menunggu dan mengalu-alukan ketikan pasukan itu, sebelum menguji sendiri Suzulight.

Beliau kemudian sangat berpuas hati dan terus memberikan Shunzo dan pasukannya kelulusan penuh untuk memproduksikan Suzulight. Produksi dimulakan pada Oktober 1955 dengan dua unit pertama diserahkan kepada dua orang doktor.

Produksi awal yang hanya 3 hingga 4 unit sebulan pada tahun 1956 pantas bertambah menjadi 30 unit. Sejak itu, kisah kejayaan Suzuki bermula dan pada tahun 1957, Shunzo dilantik sebagai Presiden Kedua Suzuki Motor Co, Limited.

Dilaporkan hanya satu atau dua unit sahaja Suzulight yang masih wujud sekarang. Salah satunya dipamerkan di Muzium Suzuki Plaza di Hamamatsu, Jepun.

Selepas 64 tahun kemudian, Suzuki kekal dikenali sebagai pakar pembuat kereta kecil di dunia dan menghasilkan lebih tiga juta unit kenderaan setahun.

Strategi asal Shunzo mengenai reka bentuk serta produksi kereta yang ringan diteruskan hingga ke hari ini menerusi penggunaan platform baharu untuk model-model seperti Ignis, Swift dan Baleno.

Model yang cukup ditunggu-tunggu sekarang ialah Swift Sport. Dijadual diperkenalkan pada Jun 2018, ia hanya seberat 970kg.

Google ads
Back to top button