Buletin

SWINCAR E-SPIDER – KAU BOLEH PERGI MANA SAJA DENGAN KERETA LABAH-LABAH INI

Kalau biasa ikuti garis masa media sosial tentang dunia automotif, boleh jadi kita akan terserempak dengan kereta miniatur yang comel siap dengan modifikasi stance dan dinaiki oleh kanak-kanak dengan fesyen hipster.

Ini sebenarnya pendedahan supaya bila besar nanti anak kecil itu tidak lupa dengan ibu bapa dan membeli kereta serupa. Mana tahu kan? Ameen.

Di Perancis ada sebuah syarikat bernama SWINCAR menghasilkan kenderaan E-Spider yang nak kata go-kart tapi bukan go-kart, nak kata kenderaan bulan pun bukan. Entahlah. Tapi yang pasti kereta ini boleh digunakan untuk off-road atau ke mana-mana sahaja yang ingin dituju.

SWINCAR E-Spider dibina dengan tangan menggunakan casis aluminium di ibu pejabat syarikat itu di Perancis. Ia dibina supaya dapat digunakan di atas pelbagai permukaan bumi dan katanya sesuai untuk seronok-seronok, pertanian, orang awam mahu pun ketenteraan.

Di United Kingdom, E-Spider diedarkan oleh Pocket Classics yang merupakan pengeluar kereta miniatur klasik dan comel.

Menariknya pada setiap roda E-Spider terdapat motor elektrik dan lengan ibarat kaki labah-labah yang boleh bergerak secara bebas seterusnya membantu kenderaan ini melalui pelbagai permukaan bumi. 

BACA: ACTEV MOTOR ARROWS AKAN MEMBUATKAN KITA TERASA NAK JADI KANAK-KANAK KEMBALI

E-Spider ini dikatakan boleh melalui curam dan dakian sehingga 70 darjah sama ada di atas salji dan secara menyerong dalam parit tetapi pada masa pemandu boleh duduk tegak dan bersahaja.

Keupayaan ini disumbangkan oleh struktur kereta yang menghasilkan keseimbangan pendulum atau buaian sewaktu melalui selekoh dan curam.

E-Spider tidak menggunakan bahan api langsung kecuali pek bateri Lithium-iron yang boleh bergerak sejauh 96.5 KM dengan cas penuh selama empat jam. Kereta ini hanya seberat 200 kg dengan kelajuan maksimum 29 km/j di atas permukaan rata.

Kereta ini juga dibina supaya ia selamat dan seronok digunakan selain mudah untuk dipandu. Sterengnya menggunakan hidraulik dan mempunyai dua pedal pecutan dan brek. Ia juga bebas gear.

SWINCAR E-Spider dipasarkan pada harga GBP 13,495 (termasuk VAT) atau RM 76,889.62 dan boleh dipesan dari laman www.pocketclassics.co.uk.

Walaupun nampak menyeronokkan, jangan kau bawa di atas jalan sebab ia tidak sah dan hanya sesuai untuk pemandu berusia lapan tahun ke atas. Pemandu juga dinasihatkan memakai topi keledar sebelum berseronok dengan kereta ini.

Cuma itulah, harga yang dipasarkan agak keras. Macam mana nak import. Mmm. Layan dulu video E-Spider, sedap juga tengok. Rasa macam nak beli tiga buah terus.

Google ads
Back to top button