Buletin

SYARIKAT CHINA DAPAT KONTRAK BINA LAPANGAN TERBANG PHNOM PENH BERNILAI RM1.65 BILION

Metallurgical Corporation of China (MCC) telah dianugerahkan kontrak bernilai AS$405 juta (RM1.65 bilion) untuk mereka bentuk dan membina lapangan udara untuk lapangan terbang baharu di wilayah Kandal, selatan Phnom Penh, Kemboja. 

Ini merupakan kontrak asing paling besar yang diterima oleh MCC pada tahun ini dan projek itu akan dilaksanakan oleh anak syarikatnya, Shanghai Baoye Goup. Apabila siap nanti, ia akan meliputi kawasan lebih 700 hektar dan memiliki kapasiti sehingga 27 juta pengunjung menjelang tahun 2030. 

Pakej lapangan udara yang turut merangkumi landasan sejauh 4km itu dijangka siap pada akhir 2022 dan boleh beroperasi tahun berikutnya. Lapangan terbang yang dilaporkan bernilai AS$1.5 bilion (RM6.12 bilion) berkenaan majoritinya dibiayai oleh China yang merupakan sekutu kuat Kemboja. 

Pelaburan besar-besaran daripada China turut melibatkan satu lagi projek lapangan terbang dan pusat peranginan Dara Sakor bernilai AS$3.8 bilion (RM15.5 bilion). 

Kemudahan tersebut adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk merancakkan sektor pelancongan, selain beberapa projek lain seperti pusat peranginan baharu di Angkor Wat. Namun, kewajaran untuk jangka masa panjang dipersoalkan oleh banyak pihak. 

Lapangan terbang baharu dan pemberian kontrak kepada syarikat China menimbulkan persoalan tentang nasib pemaju lapangan terbang dari Perancis, Vinci.

Vinci yang membentuk sebuah syarikat kerjasama Perancis-Malaysia dikenali sebagai Cambodia Airports itu bertanggungjawab menguruskan tiga lapangan terbang utama di Phnom Penh, Siem Reap dan Sihanoukville.

Syarikat kerjasama yang 70 peratus dimiliki oleh Vinci mempunyai kontrak sehingga 2040. Tetapi kebanyakan perniagaan antarabangsanya mungkin akan pergi ke pesaing dari China di Takhmao dan Dara Sakor. 

Laporan sebelum ini menyatakan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen memberitahu lapangan sedia ada di Phnom Penh hanya akan mengendalikan penerbangan domestik dan kargo sahaja.

Keputusan itu dilihat sebagai salah satu tekanan terhadap kemasukan modal besar-besaran China ke Kemboja dan negara-negara Asia Tenggara yang lebih terbuka. 

Google ads
Back to top button