
SUBARU FORESTER SF5, KERETA KELUARGA YANG CUKUP SIFAT; BESAR, LAJU, 4WD, MURAH.
Anda seorang kaki kereta yang baru kahwin dan ingin nak mencari kereta keluarga yang sesuai. Anda terpaksa menjual kereta sports 2 pintu untuk beli kereta keluarga baru sebab kekangan bajet. Jadi kereta apa yang sesuai?
Kalau korang ingat, kami pernah bercerita tentang Mitsubishi Spacewagon yang boleh diubahsuai dengan enjin turbo 4G63 dan di masa yang sama boleh memuatkan 7 orang dewasa dengan selesa. Ok, untuk keluarga yang baru ada seorang atau dua anak kecil, aku boleh bagi satu lagi pilihan untuk korang.
Subaru Forester generasi pertama yang dikenali dengan kod SF5 ialah kereta keluarga yang sesuai untuk kaki kereta yang terpaksa berpisah dengan kereta sports mereka. Dilancarkan pada tahun 1997, model ni mencipta sensasi oleh kerana konsep yang dibawanya. Ya, ini ialah antara kereta terawal yang menggunakan konsep “crossover”, iaitu kenderaan yang mencantumkan konsep SUV dengan sebuah kereta wagon.
Apa yang menarik pasal Forester ini ialah ia berkongsi 100 peratus casis yang sama dengan model Impreza GC8, termasuklah sistem pacuan empat rodanya dan paling penting, enjin EJ20DET turbo yang membuatkan model Impreza mampu menjuarai kejohanan rali dunia. Forester dipasarkan bagi mereka yang mahukan sebuah kenderaan lasak yang boleh diharap seperti sebuah SUV tetapi di dalam saiz yang lebih kecil dan boleh dipandu seperti sebuah kereta. Inilah ciri yang membuatkan model Forester ini amat unik.
Selain daripada enjin EJ20DET, Forester sebernarnya didatangkan dengan pelbagai pilihan enjin bergantung pada pasaran mana ia dijual. Sebagai contoh di pasaran Amerika Syarikat, model ni didatangkan dengan enjin Aspirasi Biasa (N/A) EJ25DE yang mampu menghasilkan 165bhp. Di Australia, model Forester didatangkan dengan pilihan enjin N/A EJ20DE yang menghasilkan 123bhp dan enjin turbo EJ20DET yang menghasilkan 168bhp ke 174bhp bergantung pada tahun pembuatan.
Negara asalnya, iaitu Jepun, pembeli Forester boleh memilih antara enjin N/A EJ20DE dan turbo EJ20DET. Enjin turbo spec Jepun ialah enjin Forester yang paling berkuasa, iaitu mampu menghasilkan 250bhp!
Forester juga didatangkan dengan kerangka yang mampu memuatkan 5 orang dewasa dengan ruang kargo yang agak luas – terima kasih kepada badan seperti kereta wagon yang digunakan. Ia dilengkapi dengan sistem gantungan jenis bebas untuk keempat-empat sudut kenderaan dan sistem pacuan empat roda sepenuh masa yang bersambung dengan kotak gear manual 5 kelajuan atau automatik 4 kelajuan.
Dari segi kelengkapan, model Forester ni dilengkapi dengan sistem brek ABS dan beg udara untuk pemandu. Tingkap berkuasa, stereng berkuasa dan gandar dengan LSD jenis viscous ialah standard untuk model ini membuatkan ia sebuah kenderaan yang selamat dan selesa untuk dipandu.
Di Malaysia, boleh dikatakan kesemua model Forester ini didatangkan dengan enjin turbo. Hampir kesemua Forester yang dijual di Malaysia diimport oleh pengimport kereta terpakai memandangkan Subaru Malaysia ketika itu tidak pernah mengimport kenderaan ini secara rasmi ke Malaysia.
Majoritinya pulak didatangkan dengan kotak gear automatik yang rata-rata menjadi pilihan kebanyakan pembeli Forester ketika itu. Model facelift Forester ini dengan kod cesi SF9 dijual pada tahun 2001 dengan sedikit perubahan kosmetik yang membezakan model ini dengan model SF5.
Oleh kerana ia berkongsi kerangka dengan Impreza, Forester boleh menerima apa-apa aksesori dari model Impreza seperti sistem gantungan, brek, rim dan sistem ekzos. Ini membuatkan model Forester amat popular untuk dijadikan bahan modifikasi di Malaysia. Pengguna Forester di Malaysia juga gemar mendapatkan bodykit dan aksesori-aksesori lain seperti tempat duduk daripada model Forester STi yang menjadikan kereta mereka lebih sporty.
Harga pasaran model ni kat Malaysia bergantung pada keadaan dan tahun pembuatan. Model ini masih mengekalkan harga yang agak tinggi, iaitu di antara RM30k ke RM50k dan kebanyakan model yang dijual menggunakan transmisi automatik.
Kos penyelenggaraan model ini mungkin lebih tinggi daripada SUV yang lain, terutama kos alat-ganti enjin seperti tali-sawat dan gasket. Bagaimanapun, untuk alat ganti yang lain, sebenarnya ia agak murah oleh kerana barang-barangnya terpakai di kedai half-cut sangat banyak.
Pada pendapat kami, Forester SF5 ialah kereta yang patut dimiliki oleh boy racer yang dah pencen. Ia selesa untuk dipandu di dalam bandar dan juga di lebuhraya dan mempunyai kuasa yang cukup tinggi untuk memastikan ia masih memenuhi selera si kaki pecut.