Buletin

TAHUKAH ANDA, TOYOTA HILUX DAH 13 TAHUN TAK JUAL DI JEPUN – TAHUN INI MASUK KEMBALI

Toyota Hilux memang raja jalanan, ladang dan luar bandar. Hilux juga lambang jenama Toyota iaitu boleh diharap, tahan lasak dan mudah diselenggara. Boleh dikatakan hampir segenap benua pikap ini dipasarkan. Lebih menarik apabila Hilux merupakan kenderaan terlaris di Australia.

Walaupun begitu banyak bilik pameran Toyota di atas muka bumi ini yang memasarkan Hilux namun anehnya pikap ini tidak dijual di negara kelahiran pengeluarnya sendiri iaitu Jepun. Ibarat Proton Saga tidak dijual di Malaysia.

Lebih tepat, sudah 13 tahun Toyota Hilux tidak dijual di Jepun dan tahun ini Toyota Motor Corporation (TMC) mengumumkan ia bakal kembali.  

Sejak dilancarkan pada tahun 1968, Hilux telah dijual di sekitar 180 buah negara dan wilayah di serata dunia. Ia begitu popular dan mengikut data dalaman dari TMC jualan sehingga 31 Julai lalu telah pun mencecah 17.3 juta unit.

Ketua Jurutera dan Pengurus Pembangunan Produk, Masahiko Maeda berkata “Walaupun jualan di Jepun ditamatkan pada tahun 2004, dianggarkan sebanyak sembilan ribu pemilik yang masih menggunakannya untuk tujuan komersil. Ramai meminta Hilux dipasarkan kembali dan dengan itu kami memenuhi permintaan mereka dan juga pelanggan lain yang mempunyai hasrat sama.”

Selain itu, Masahiko Maeda mengakui dengan jujur tentang perihal pikap ini yang turut datang dengan beberapa kekurangan dari segi undang-undang.

“Saya juga ingin memaklumkan kepada pelanggan selain nilai dan praktikaliti yang terdapat pada Hilux ini ia turut mempunyai beberapa kelemahan kerana pikap ini berada dalam kenderaan Kelas 1 di mana ia wajib menjalani pemeriksaan tahunan dan dikenakan lebih tinggi jika melalui lebuh raya bertol.

Berikut ialah ciri-ciri Toyota Hilux Spesifikasi Jepun (JDM):

  • Dikuasakan enjin 2GD-FTV 2.4 liter diesel dengan pengunaan minyak 11.8 km/L (JC08)
  • Mengunakan transmisi automatik enam kelajuan Super ECT. Tiada transmisi manual ditawarkan
  • Menggunakan sistem pacuan 4WD separuh masa dengan mod tukaran melalui sentuhan butang. Pacuan 2WD menawarkan pemanduan yang lebih senyap dan menjimatkan serta sesuai untuk jalan di bandar dan lebuh raya. Sistem 4WD pula untuk permukaan jalan yang lebih mencabar dan licin
  • Terdapat beberapa pilihan kelengkapan bergantung kepada varian – Hill-start Assist Control, Active Traction Control, Downhill Assist Control,  Pre-Collision System with Pedestrian Detection dan Lane Departure Alert
  • Bahagian interior dilengkapi pengcahayaan berwarna biru
  • Terdapat lima warna pilihan di antaranya ialah Nebula Blue Metallic dan Crimson Spark Red Metallic

Satu lagi perkara menarik tentang Toyota Hilux JDM ini ialah ia diimport sepenuhnya dari kilang Toyota di Ban Pho, Thailand yang sememangnya hab utama dunia untuk pikap sederhana sebegini.

Terdapat dua varian yang dipasarkan di Jepun iaitu Hilux X pada harga JPY 3,267,000 (RM 122,535.76) dan JPY 3,742,200 (RM 140,359.14). Harga Hilux pasaran tempatan pula bermula dari RM 87,000 hingga RM 130,000.

BACA: TOYOTA HILUX SINGLE CAB – YANG INI PUN BOLEH JUGA JADI LAJU (DAN CANTIK)

BACA: PANDU UJI TRAK PIKAP : TOYOTA HILUX – THE KING

Google ads
Back to top button