BuletinMotosikal

TAKUT DENGAN PERSARAAN – ROSSI MEMILIH UNTUK SAMBUNG KONTRAK DENGAN YAMAHA SEHINGGA 2019?

Kontrak lagenda MotoGP, Valentino Rossi dengan Yamaha akan berakhir pada 2018 tetapi khabar yang bertiup kencang di kalangan media mengatakan Rossi sudah menandatangani kontrak baru dengan Yamaha sehingga 2019.

Kuat betul The Doctor ni berkerja sampai tak nak pencen lagi. Rossi akan berusia 39 tahun pada Februari 2018 tetapi beliau tetap bersemangat untuk terus berlumba. Bahkan sebenarnya sehingga kini Rossi belum memberikan kata putus tentang bila beliau akan bersara.

Malah pengulas terkenal MotoGP, Carlo Pernat menyatakan yang beliau berkeyakinan penuh yang Rossi akan terus berlumba sehingga ke akhir musim MotoGP 2019.

Sewaktu ditanya pihak media Eropah, Pernat menyatakan yang beliau yakin Rossi sudah pun menandatangani kontrak dengan Yamaha sehingga 2019. Dan jika ia sesuatu yang benar, Yamaha telah mengambil langkah yang tepat kerana Rossi merupakan dan masih pelumba yang sentiasa berada di kelompok hadapan sewaktu berlumba.

BACA: 5 PILIHAN MOTOSIKAL YANG PALING HAMPIR DENGAN JENTERA MOTOGP YANG BOLEH ANDA BELI – ASAL ADA KEMAMPUAN

Beliau turut menambah yang walaupun usia Rossi tidaklagi semuda pelumba lain tetapi fizikal beliau masih dalam keadaan baik dan mempunyai semangat yang tidak kurang kuat berbanding pelumba yang lebih muda darinya.

Bukan itu sahaja, Rossi juga seorang yang cukup tekun dan berdisiplin dalam latihan. Ciri yang sepatutnya ada pada setiap pelumba tanpa mengira usia. Pernat turut menyatakan keyakinan beliau yang Rossi akan tetap dengan Yamaha sehingga kariernya berakhir. Ia juga mungkin saatnya di mana pasukan VR46 akan berakhir dalam persaingan MotoGP.

Kata-kata Pernat mungkin ada benarnya kerana jika dilihat, walaupun pencapaian Rossi tidak sehebat sewaktu bergelar juara dunia tetapi beliau tetap akan memberikan tunggangan yang mencabar dalam setiap perlumbaan.

Mungkin dengan rekod kemenangan sehebat beliau kemenangan seakan tidak lagi memberi erti. Apa yang dilakukan mungkin lebih kepada menikmati perlumbaan selain memberikan yang terbaik untuk pasukan. Kemenangan mungkin hanyalah satu bonus bagi beliau.

 

Google ads
Back to top button