Buletin

TAN CHONG & SONS MOTOR COMPANY JALIN KERJASAMA DENGAN SPAREXHUB. DISKAUN SEHINGGA 80% UNTUK ALAT GANTI TULEN MODEL LAMA NISSAN

Tan Chong & Sons Motor Company Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan platform e-dagang SpareXHub untuk menawarkan alat ganti tulen kepada pemilik model lama Nissan dengan tawaran diskaun sehingga 80 peratus.

Nissan menjadi jenama kereta Jepun pertama yang menyertai platform alat ganti tulen automotif dalam talian milik Malaysia iaitu SpareXHub.

Alat ganti tulen Nissan yang tersedia adalah untuk model seperti AD Resort, Bluebird, Cefiro, Frontier, Latio, Sentra, Skyline, Sunny, March, Sylphy, Teana, Terrano, Urvan dan Vanette.

Usaha itu bakal mengukuhkan hubungan jangka panjang di antara SpareXHub dan Tan Chong & Sons Motor Company selepas program percubaan yang dijalankan selama enam bulan menunjukkan hasil positif.

Menurut pengasas bersama SpareXHub, Devindran Ramanathan, kerjasama ini adalah untuk memudahkan pemilik Nissan lama mendapatkan alat ganti tulen dengan tawaran yang sukar ditolak.

“Sebagai contoh, penjimatan sehingga 70% atau lebih daripada RM2,000 untuk sepasang lampu depan Nissan Skyline akan dimanfaatkan oleh pelanggan. Bagi rakan kongsi kami seperti Tan Chong & Sons Motor Company, platform SpareXHub membolehkan mereka mencapai audien pelanggan yang jauh lebih besar,” katanya.

Kerjasama itu memperkenalkan diskaun berperingkat untuk alat ganti, dengan tawaran diskaun sehingga 80 peratus daripada harga runcit yang disyorkan untuk pembeli individu, bengkel serta stokis alat ganti.

Sudah memasuki tahun keempat beroperasi, SpareXHub sedang membina inventori maya dengan menawarkan 500,000 alat ganti tulen kepada lebih 100,000 pelanggan.

Google ads
Back to top button