
SASARAN 50% EV CKD MENJELANG 2030 DIJANGKA TERSASAR. THAILAND KEKURANGAN SUMBER DAN STESEN PENGECASAN
Sasaran Thailand untuk menghasilkan 50 peratus kenderaan elektrik (EV) buatan tempatan (CKD) menjelang 2030 mungkin tidak dapat dicapai.
Menurut perunding pengurusan global, Arthur D. Little, kos tenaga yang tinggi serta kemudahan pengecasan EV begitu terhad menyukarkan lagi pengeluaran EV oleh pembuat kereta tempatan.
Firma itu menjangkakan EV hanya membentuk tujuh peratus daripada kenderaan CKD menjelang tahun 2030.

“Harga tenaga boleh diperbaharui dan perkhidmatan pengecasan kekal tinggi di Thailand. Manakala bilangan stesen pengecas EV tidak mencukupi untuk memberi perkhidmatan kepada pemandu EV,” kata Pengurus Kanan Arthur D. Little, Akshey Prasad.
Berbeza dengan Indonesia yang mempunyai banyak sumber nikel, elemen utama dalam pembuatan bateri, Thailand pula dilihat sukar untuk menarik pelabur asing kerana kekurangan sumber bahan mentah.
“Thailand mempunyai zink yang boleh digunakan untuk membuat bateri, tetapi ia perlu membangunkan teknologi untuk menggunakan elemen ini. Thailand boleh bekerjasama dengan China, Jepun atau Australia untuk menggunakan zink sebagai bahan mentah untuk pengeluaran bateri. Ini akan meningkatkan daya saing negara,” jelas Prasad.
Faktor lain yang boleh memperlahankan pertumbuhan industri EV di Thailand dan negara lain ialah kekurangan semikonduktor global. Prasad turut menjangkakan kekurangan itu akan terus berlaku dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.
Thailand kini menduduki tempat kesembilan dari segi kesediaan pasaran untuk penggunaan EV. Thailand dikategorikan sebagai pasaran EV yang baru muncul, bersama-sama dengan Amerika Syarikat, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu.
Jualan EV di Thailand dijangka meningkat daripada 1,572 unit pada 2020 kepada 831,161 unit menjelang 2030. Namun ia masih belum cukup untuk melepasi sasaran kerajaan iaitu 1.12 juta unit kenderaan sifar emisi pada 2030.
- BACA: CHAROEN POKPHAND DAN TOYOTA KOMITED UNTUK CAPAI NEUTRALITI KARBON DI THAILAND
- BACA: TESLA KINI BERADA DI PASARAN THAILAND, TAWAR MODEL 3 DAN MODEL Y, HARGA BERMULA RM220K
- BACA: GREAT WALL MOTOR RANCANG LABUR RM2.8 BILION UNTUK EV DI THAILAND
- BACA: DEMI BYD ATTO 3, PEMBELI DI THAILAND SANGGUP BERATUR SEAWAL 8 MALAM. DAH MACAM BELI IPHONE







