Buletin

TANDA DAGANG “LEXUS LFR” DITEMUKAN DI EROPAH, APA MAKNANYA?

Lexus bakal hadir dengan sebuah halo car yang bakal menggantikan tempat Lexus LFA, berdasarkan penemuan pendaftaran tanda dagang di European Union Intellectual Property Office (EUIPO).

Laman web CarBuzz mendakwa, kereta sports baharu Lexus bakal digelar sebagai Lexus LFR, di mana nama tersebut pernah digembar-gemburkan sebelum ini di laman forum internet Reddit.

Kemungkinan besar Lexus LFR ini merujuk kepada kereta Lexus Electrified Sport Concept yang diperlihatkan pada tahun lalu, di mana ia dikatakan akan mewarisi elemen yang terdapat pada Lexus LFA.

Berdasarkan spesifikasi asal, Lexus Electrified Sport Concept ini dilengkapi dengan trenkuasa elektrik yang membolehkan pecutan 0-96 km/j bawah dua saat dengan jarak operasi sejauh 700 km untuk sekali cas penuh.

Selain trenkuasa elektrik, ia juga bakal menampilkan opsyen plug-in hybrid V8 dengan kuasa melebihi 1,000 hp.

Menariknya, kereta sports baharu ini juga dikatakan bakal ditawarkan dengan transmisi manual maya dengan tiga pedal dan penukar gear manual, sesuatu yang kian hilang daripada kereta sports masa kini. – CarBuzz

Google ads
Back to top button