Artikel Pilihan

TAYAR LEBAR, RIM BESAR. OK KE?

Rim besar dan tayar lebar merupakan magnet untuk menarik perhatian lelaki untuk membeli kereta. Ia kelihatan gah dan bagus. Ia nampak maskulin pada pandangan lelaki. Kalau boleh tayar tersebut mestilah memiliki ketebalan atau aspek ratio yang rendah. Kurang 50% lebih seksi pada pendapat mereka.

Jadi tidak hairanlah sebaik sahaja membeli kereta baru, kebanyakan pemilik baru akan bergegas ke kedai tayar untuk mencari rim sukan yang lebih besar dan tayar yang lebih lebar serta nipis. Sebenarnya penulis bukan nak mengkritik citarasa mereka. Setiap orang memiliki citarasa yang berbeza.

Bagi penulis, kami dulu diajar untuk untuk mengira saiz tayar dan juga rim yang sesuai berdasarkan berat kenderaan. Jika berat kenderaan diketahui, maka saiz tayar akan berada dalam satu julat tertentu yang sesuai. Penulis lebih sukakan prestasi tayar berada dalam tahap optimum dalam carta spider web iaitu memuaskan semua prestasi pemanduan. Ia merangkumi pecutan, prestasi brek, keselesaan dan juga keupayaan tayar mengatasi aquaplaning.

Namun pada masa yang sama ada beberapa isu yang berkaitan apabila pemilik mula memasang tayar yang lebih besar. Kita akan bincangkan dari sudut kebaikan dan juga keburukan. Bila tayar lebih besar digunakan, kestabilan kereta akan bertambah disebabkan contact patch juga akan bertambah besar.

Kesan postif yang lain termasuklah jarak brek yang semakin berkurang menjadikan pemanduan semakin selamat. Kebiasaannya tayar yang lebih besar memiliki loading capacity yang lebih tinggi. Ini bermakna ia boleh memuatkan beban yang lebih berbanding dengan tayar yang kecil.

Tapi tayar yang besar dan lebar juga ada kelemahan yang lain. Tayar dan rim yang besar akan memiliki jisim dan berat yang lebih berbanding dengan tayar dan rim yang kecil. Dalam konteks sistem suspensi, tayar dan rim merupakan unsprung mass dan perlu lebih ringan kerana ia akan memberi kesan kepada dinamik pengendalian kereta.

Disebabkan ia lebih berat dan diameter lebih, maka pecutan kereta akan berkurang disebabkan geseran golek (rolling resistance) menjadi lebih besar. Jadi pemandu akan merasakan pedal minyak perlu ditekan lebih kuat bagi mendapatkan pecutan yang biasa dilakukan dengan tayar yang lama. Jadi penggunaan petrol akan meningkat apabila kita memasang tayar yang lebih besar

Disebabkan berat dan saiz rim telah berubah, ia akan memberi kesan kepada keselesaan kereta. Tayar yang lebih nipis tidak mempunyai kesan kusyen yang sama dengan tayar yang tebal. Jika anda melanggar lubang, maka gegaran yang kuat akan lebih terasa berbanding dengan tayar yang tebal.

Tork pada bahagian roda kereta boleh dikira berdasarkan formula berikut

Tork pada roda = ( Gear Ratio Semasa X Gear Ratio Akhir X Tork Maksima Enjin ) / 2

Nilai dua kerana 2 tayar digunakan untuk menerima tork dari enjin

Kuasa yang diterima oleh roda = Tork pada roda / radius roda

(Gear Ratio Semasa X Gear Ratio Akhir X Tork Maksima Enjin) / 2 x radius roda

Pengiraan di atas dilakukan dengan beranggapan bahawa kecekapan mekanikal kotak gear adalah 100%.

Bagi mengira radius roda (sebagai contoh tayar 225/45 R17), adalah seperti berikut

lebar tayar = 225mm

Tebal tayar= 45% dari kelebaran tayar iaitu 101.25mm

Diameter roda ialah 17inci bersamaan = 431.8mm

Diameter roda dan tayar ialah 101.25mm + 101.25mm + 431.8mm = 634.3

Radius roda ialah =317.15mm = 0.31715m

Perhatikan, semakin besar nilai jejari atau radius, semakin kecil tork dari enjin akan sampai pada tayar. Disebabkan nilai tork sampai pada tayar menjadi semakin kecil, maka pecutan yang dihasilkan semakin kurang. Jadi kalau nak potong kereta rim besar ni, potong lepas mapu isyarat menjadi hijau.

Google ads
Back to top button