Buletin

TEASER VW AMAROK DIDEDAHKAN, KONGSI PLATFORM RANGER

Volkswagen baru-baru ini memperlihatkan lakaran generasi baharu trak pikap Amarok yang dijangka akan diperkenalkan pada tahun 2022.

Dua keping gambar lakaran rasmi itu kini menampakkan rekaan sebenar trak pikap yang berkongsi platform dengan Ranger generasi baharu yang dilancarkan di peringkat global beberapa minggu yang lalu.

Biarpun berkongsi pelantar yang sama, namun rekaan VW Amarok dilihat jauh berbeza berbanding Ford Ranger dengan penampilan panel badan yang unik.

Ia boleh dilihat menerusi unit lampu hadapan yang diintegrasikan kemas pada jeriji, diikuti dengan jalur LED nipis melintang penuh di bahagian tersebut.

Sementara bahagian sisi trak pikap ini menampilkan rekaan fender yang lebih berisi, dengan tayar off-road dan kelengkapan khas yang dipasang.

Bagi mata-mata yang tajam, anda boleh melihat kelibat bar lampu LED yang dipasang pada bahagian bumbung.

Rekaan ruang kabin pula menampakkan persamaan tunggal dengan Ranger, iaitu skrin infotainmen tengah yang diposisikan menegak.

Selain daripada itu, boleh dikatakan majoriti komponen telah direka semula seperti roda stereng, panel papan pemuka, konsol tengah, serta tidak ketinggalan tuil penukaran gear dan tempat meletak cawan yang diposisikan semula.

Trak pikap generasi baharu ini dibangunkan oleh pasukan di Australia dan Eropah, di mana ia akan diproduksikan di kilang Afrika Selatan dan Argentina, dan mula dijual di Eropah lewat tahun 2022.

Google ads
Back to top button