" "
Buletin

INI SEBAB KENAPA PENGENDALIAN HONDA CITY HATCHBACK LAGI SEDAP

Sehari sebelum pelancaran rasmi Honda City Hatchback ke pasaran tempatan, media dijemput untuk menghadiri sesi temubual dengan Ketua Projek Honda City generasi kelima, Rei Sakamoto. 

Dijalankan secara dalam talian, ini ialah amalan biasa oleh Honda Malaysia setiap kali produk baharu dilancarkan. Ia juga menjadi peluang terbaik kepada pihak media untuk bertanya secara terperinci tentang kereta tersebut. 

Dalam sesi yang berlangsung selama lebih sejam itu banyak sekali perkara yang dibincangkan. Namun, saya lebih berminat untuk menyentuh tentang bagaimana City Hatchback mampu menawarkan kualiti pengendalian lebih baik baik berbanding kembarnya, City Sedan. 

Pernah memandunya dalam tempoh singkat di South Track, Litar Antarabangsa Sepang beberapa minggu lalu, pengendalian City Hatchback terutama varian RS e:HEV memang mantap. Sama ada mengambil selekoh pada kelajuan tinggi atau mengelak kon pada ujian slalom, jentera itu dapat mengawal olengan badannya dengan cemerlang. 

Jangan tak tahu, City generasi pertama yang dihasilkan pada tahun 1981 ialah sebuah hatchback dua pintu sebelum pengeluarannya ditamatkan pada tahun 1993. City generasi seterusnya kemudian dibina sebagai sebuah sedan yang dilihat lebih praktikal untuk pelanggan di rantau ini. 

Pembangunan City Hatchback sebenarnya sudah dirancang sejak awal, tetapi tertangguh akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia. Jadi, ia bukan dibuat secara terburu-buru apabila Honda mengambil keputusan untuk tidak menawarkan Jazz generasi keempat di Malaysia dan pasaran Asia Tenggara (kecuali Singapura). 

Sebab itulah kita boleh lihat bahawa pembinaan City Hatchback dibuat dengan sempurna. Sama ada dari segi rekaan luaran, dalaman, rangkaian kuasa, praktikaliti dan sistem keselamatannya. 

Jadi, berbalik kepada persoalan awal, apa yang menyebabkan pengendalian City Hatchback lebih mantap? Sebagai sebuah hatchback, jentera itu dibina di atas kerangka yang enam peratus lebih tegar berbanding Honda Jazz generasi ketiga dan 7.3kg lebih ringan daripada City Sedan.

“Kami menggunakan komponen yang sama untuk model sedan dan hatchback. Tetapi talaannya berbeza untuk membuatkan pengendalian City Hatchback lebih aktif dan sporty. Tangki bahan api pada model hatchback yang diletakkan di tengah membuatkan berat bahagian hadapannya lebih berat berbanding City Sedan,” jelas Sakamoto.

Badannya yang lebih pendek juga menyumbang kepada pengalaman pemanduan yang menyeronokkan itu. Untuk makluman, City Hatchback menggunakan sistem suspensi yang sama sepenuhnya dengan City Sedan. Tiada talaan khas dibuat ke atasnya.

Jangan percaya 100 peratus apa yang anda baca atau dengar. Cara terbaik ialah pandu uji sendiri City Hatchback dan anda mungkin akan bersetuju dengan saya. 

Google ads
Back to top button