Artikel Pilihan

TEKNOLOGI KERETA PANDU SENDIRI TESLA KELIRU DENGAN BULAN, PAPAN TANDA & IKLAN BURGER KING

Sehingga pada hari ini Tesla masih lagi “abang long” dalam teknologi kereta pandu sendiri. Berbeza dengan teknologi sensor Lidar (Light Detection & Ranging), Tesla berubah kepada sistem kamera dengan teknologi Artificial Intelligent bagi mengesan halangan dan objek yang berada di atas jalan

Namun sistem kamera dengan sistem AI ini masih lagi jauh daripada sempurna. Walaupun dalam sesetengah keadaan sistem ini berupaya menjadi lebih selamat berbanding dengan manusia, tapi ia masih lagi gagal mengesan objek berbahaya disebabkan kegagalan sistem mentafsirkan sifat objek dan ancaman objek kepada kereta

Dalam satu video klip yang ditunjukkan di laman sosial Twitter, seorang pemilik Tesla menunjukkan sistem kamera tersebut menganggap bulan yang berada di langit sebagai lampu isyarat sedia berhenti. Sistem kamera ini sentiasa bersedia untuk membrek sebaik sahaja mengesan bulan tersebut. Kejadian ini berlaku sewaktu Tesla tersebut dipandu di atas lebuhraya

Risikonya ialah jika Tesla mulai membrek, ia mungkin akan menyebabkan kemalangan daripada belakang. Namun Tesla tidak pernah menganggap sistem Full Self Drive ini adalah sempurna. Ciri mengesan dan bertindakbalas kepada lampu isyarat serta papan tanda jalan ini dilancarkan pada awal tahun 2020, masih lagi dalam versi Beta.

Dalam sesetengah keadaan pemilik perlu mematikan dan menghidupkan fungsi ini secara manual. Dalam beberapa Tweet yang lain, beberapa pemilik Tesla mendakwa kereta mereka mengesan matahari sebagai lampu isyarat merah untuk berhenti. Dalam satu kejadian lain, sistem ini turut mengesan lampu isyarat yang sedang dibawa dengan lori

Pada bulan April 2021, seorang lagi pemilik Tesla mendapati kereta Teslanya akan berhenti di tengah-tengah jalan setiap hari ketika melalui jalan yang sama. Keadaan ini disebabkan kamera akan mengesan papan tanda iklan dengan perkataan “STOP” menyebabkan sistem Tesla membrek di tengah-tengah jalan.

Satu lagi isu yang dihadapi oleh pemilik Tesla ialah sistem kamera dengan AI ini suka membuat andaian awal dan terlalu “playsafe”. Dalam satu video yang dibuat, sistem ini mengesan papan tanda iklan Burger King yang berbentuk bulat sebagai tanda “STOP”. Dalam video di bawah, Tesla memperlahankan halaju sebelum menyambung semula halaju asal selepas mendapati ia bukanlah papantanda yang sebenar

Tapi disebabkan isu ini telah viral, Burger King mengambil peluang ini dengan memberikan satu burger Whooper percuma kepada mana-mana pemilik Tesla yang telah berhenti di premis mereka sebagai usaha pemasaran percuma

Google ads
Back to top button