Buletin

TEMPAHAN HONDA CITY HATCHBACK FACELIFT 2024 KINI DIBUKA – DILANCARKAN SUKU KEDUA 2024

Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan Honda City Hatchback versi facelift telah dibuka dan bakal dilancarkan pada Suku kedua 2024.

City Hatchback ialah model kedua Honda Malaysia dengan teknologi e:HEV, yang diperkenalkan pada 2021 dan sejak itu, e:HEV RS City Hatchback menyumbang 16 peratus kepada jumlah jualan hibrid Honda Malaysia setakat ini.

Pada 2023, Honda Malaysia menjual sejumlah 10,300 unit City Hatchback, mencapai kehadiran kukuh dalam segmen hatchback Bukan Nasional.

City Hatchback versi facelift ini menerima reka bentuk yang lebih anggun, dinamik serta sporty dengan varian tertinggi, e:HEV RS dipadankan bersama gril honeycomb baharu, gril bawah hadapan dan rekaan bampar agresif termasuk kemasan lampu kabus.

Daya tarikan sporty varian e:HEV RS diserlahkan lagi melalui kemasan bawah bampar belakang, kemasan sisi dan rim 16 aloi-inci berwarna Berlina Black.

Varian RS dikuasakan oleh nadi 1.5L e:HEV, menghasilkan 109PS dan 253Nm tork, sementara varian lain dijana oleh enjin petrol 1.5L DOHC i-VTEC, menghamburkan 121PS dan 145Nm tork.

Untuk ciri keselamatan, Honda SENSING kini didatangkan secara standard untuk semua varian dengan ciri tambahan seperti ciri Lead Car Departure Notification (LCDN) dan Low Speed Follow (LSF) bagi varian RS.

Untuk maklumat lanjut mengenai Honda City Hatchback versi facelift, anda boleh mengunjungi mana-mana daripada 101 pengedar sah Honda di seluruh negara atau layari www.honda.com.my.

Google ads
Back to top button