
TEMPAHAN RANGE ROVER VELAR L560 BAHARU KINI DIBUKA – HARGA BERMULA RM638,800
JAGUAR Land Rover Malaysia baru-baru ini melancarkan Range Rover Velar L560 versi facelift ke pasaran tempatan pada harga bermula RM638,800.
Tiba dalam tiga versi, P250 Dynamic SE (M dan H Spec) dan P250 Dynamic HSE (L Spec), ia menawarkan reka bentuk luar biasa, teknologi canggih serta pengalaman pemanduan lebih baik.
Dari luaran, ia dipadankan dengan rekaan baharu pada lampu hadapan, lampu belakang dan gril radiator, manakala versi L Spec disertakan bersama lampu hadapan Pixel LED yang nipis, lampu nyalaan siang berbentuk permata, serta lampu LED 3D di bahagian belakang.

Range Rover Velar L560 versi facelift boleh didapati dalam dua warna luaran iaitu Metallic Varesine Blue dan Premium Metallic Zadar Grey.
Model H Spec dan L Spec diserlahkan dengan rim Style 1075 berukuran 22-inci warna kelabu gelap berkilat sementara M Spec pula menerima rim 20-inci Style 1089 berwarna hitam berkilat.
Menjengah dalam kabin, ia dilengkapi sistem infotainment Pivo Pro dan boleh diakses menerusi skrin sentuh melengkung berukuran 11.4 inci.

Selain itu, sistem ini juga menawarkan antara muka baharu, sistem pengecaman suara AI dan kemas kini perisian melalui udara.
Bukan itu sahaja, ciri-ciri menarik lain termasuklah sistem pembatalan bunyi jalan raya aktif yang berfungsi dengan pembesar suara Meridian serta Technology Pack, merangkumi paparan head-up, kamera 3D, Park Assist dan Wade Sensing.
Bagi L Spec, ia dimuatkan dengan sistem pembersihan udara kabin dan sistem pencahayaan ambien 30 pilihan warna.
Perincian lain bagi H Spec dan L Spec adalah dilengkapi sistem Adaptive Dynamics dengan suspensi udara elektronik.
Seperti dinyatakan di atas, Range Rover Velar L560 kini dibuka untuk tempahan dengan tanda harga bermula RM638,800.
Untuk merasai sendiri keunggulan dan inovasi Range Rover Velar baharu, pelanggan boleh mengunjungi bilik pameran Jaguar Land Rover di Blok 4, Jaguar Land Rover, Sime Darby Motors City, No. 6, Jalan PJU 1A/7, Ara Damansara, 47301 Petaling Jaya, Selangor.
- BACA: RANGE ROVER EVOQUE 2024 – EMPAT VARIAN, 309HP, HARGA BERMULA RM252 SEUNIT
- BACA: RANGE ROVER L460 KINI DI MALAYSIA. 4.4 V8 TURB0, 530PS/750NM, RM2.488 JUTA SEUNIT
- BACA: RANGE ROVER L460 – BAKAL DEBUT PADA FEBRUARI 2023. V8 TURBO, RIM 22 INCI
- BACA: RANGE ROVER VELAR HST. LEBIH POWER, GARANG DENGAN BLACK PACK

