Buletin

RANGE ROVER VELAR HST. LEBIH POWER, GARANG DENGAN BLACK PACK

Land Rover baru-baru ini memperkenalkan Range Rover Velar HST buat pertama kali kepada pengguna. HST yang merupakan varian berprestasi tinggi sebelum ini dilancarkan untuk model Evoque dan Range Rover Sport.

Velar HST dibangun menggunakan varian R-Dynamic S tetapi dibezakan menerusi bumbung berwarna hitam dan pakej Black Pack. Warna eksklusif untuk varian ini ialah kelabu (Arrious Grey) dan ia dipasangkan dengan rim lima jejari bersaiz 21 inci berwara hitam berkilat. 

Di ruang kabin, imej ‘jahat’ itu diteruskan dengan penggunaan material suedecloth hitam pada bumbung dan stereng. Ia turut didatangkan dengan suspensi udara sebagai ciri standard. 

Velar HST ditawarkan dalam beberapa pilihan enjin iaitu P400 turbo enam silinder sebaris yang mampu menjana 395hp atau D300 turbo diesel berkuasa 296hp bersama sistem mild-hybrid, bergantung kepada pasaran. SUV berkenaan ditawarkan pada harga bermula AS$80,350 (RM342,000) seunit. 

Selain HST, Land Rover juga memperkenalkan semula Range Rover Velar Edition ke pasaran tertentu. Jentera yang dibangunkan di atas varian R-Dynamic SE itu hadir dengan semua pilihan warna Velar, di samping bumbung hitam dan rim hitam bersaiz 20 inci. 

Amazon Alexa kini dipasang pada Velar bersama sistem infohibur Pivi Pro dan Online Pack. Ia menawarkan ketersambungan dan arahan suara yang lancar bersama ciri navigasi serta hiburan. Pemandu hanya perlu menggunakan Alexa untuk menetapkan destinasi, menstrim media, membuat panggilan telefon dan sebagainya. 

Dari segi keselamatan, Velar dilengkapi sistem bantuan pemandu ADA yang terdiri daripada Kawalan Jelajah Adaptif dan Bantuan Stereng serta merupakan sebahagian daripada Driver Assist Pack. Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan sistem penapisan udara dan pembatalan bunyi bising dengan kos tambahan.  

Google ads
Back to top button