BuletinMotosikal

TERGUGAT DENGAN BAJAJ RS200, YAMAHA LANCARKAN FAZER 250

Setelah spyshot dan berita mengenai Yamaha Fazer 250 bakal dilancarkan di India akhirnya Yamaha India melancarkannya secara rasmi. Motosikal baru yang lengkap dengan fairing hadapan itu dikatakan akan memberikan saingan sengit kepada motosikal keluaran tempatan iaitu Bajaj Pulsar RS200. Apa kehebatan model yang dikatakan berharga kurang dari RM10,000 ini?

Model ini merupakan kesinambungan daripada model FZ25 yang dilancarkan awal tahun lalu. Yamaha India dikatakan cuba menguasai pasaran dengan menghadirkan Fazer 250 sebagai pilihan baru buat bakal pembeli. Model sport ini memang mempunyai banyak persamaan dengan FZ25 tetapi satu perkara yang mengejutkan ramai pihak ialah bila dilancarkan lebih awal dari tarikh ramalan iaitu sekitar Oktober 2017.

Jika dilihat secara sepintas lalu, fairing baru pada Fazer 250 ini membuatkannya kelihatan lebih besar daripada saiz sebenar. Ia juga satu rekaan yang unik untuk sebuah model 250 cuma lampu hadapannya yang agak ke dalam sedikit membuatkan motosikal ini nampak….err…gemuk (tapi itu cuma pandangan kami).

BACA: YAMAHA TZR125, SAIZ BUKAN PENENTU

Bahagian tempat duduk penunggang dan penumpang pula direka sebaik mungkin untuk keselesaan khususnya dalam perjalanan jauh. Malah sekali lihat pun motosikal ini kelihatan seperti termasuk dalam kategori sport tourer sama seperti Bajaj Pulsar RS200. Namun yang pasti ia lebih selesa ditunggang oleh Pak Amid berbanding YZF R25 yang berada dalam kategori sportsbike.

Bahagian lain pula hampir sama dengan komponen milik FZ25 seperti fork teleskopik hadapan, suspensi belakang, lampu utama LED serta paparan speedometer digital sepenuhnya. Dengan kata lain ini sebenarnya FZ25 yang dipakaikan dengan fairing baru lengkap dengan cermin pelindung kecil untuk melindungi penunggang dari elemen cuaca. Tapi macam kecil sangat je saiznya.

Enjinnya juga sama seperti FZ25 dimana ia dibekalkan dengan enjin 4-lejang, selinder tunggal, 250cc SOHC 2-injap. Ia juga dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api dan menggunakan sistem sejukan berasaskan minyak. Dipadankan dengan kotak gear manual 5-kelajuan ia mampu menghasilkan kuasa maksima 20.6 bhp dan tork 20 Nm pada 6,000 rpm.

Angka tersebut bukannya hebat sangat tetapi ia mempunyai tahap penggunaan bahan api yang efisyen iaitu sekitar 43 kilometer untuk setiap liter petrol. Malah motosikal ini juga menepati piawaian pelepasan gas ekzos Euro 4.

Untuk pasaran India ia ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Soulful Cyan dan Rhythmic Red dan dikatakan berharga sekitar INR 129,335 ataupun bersamaan dengan lebih kurang RM8,600. Murah tu untuk model 250cc. Ia akan mula diedarkan sekitar September 2017 dan ditujukan khusus buat pemilik FZ16 yang mungkin ingin naik setingkat lagi ke kategori 250cc.

Okey, macam mana dengan harapan ia memasuki pasaran Malaysia? Tidak beberapa bagus kerana pasaran motosikal di negara kita tidaklah sebesar pasaran Indonesia mahupun Thailand. Malah segmen 250cc bukanlah segmen yang paling popular di negara kita mungkin atas faktor harga. Tapi jika ditawarkan rasanya ia akan memberikan pengguna lebih banyak pilihan kerana buat masa kini pilihan yang ada untuk motosikal 250cc adalah sangat terhad. Yamaha pun cuma menawarkan model sportbike R25 yang memang tidak sesuai dengan golongan warga perak macam kami ni.

Google ads
Back to top button