Buletin

TERIMA SUAPAN YAMAHA XMAX DAN WANG TUNAI RM80K, PEGAWAI KDN DIHADAPKAN KE MAHKAMAH

Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima suapan lebih RM100,000 daripada seorang kontraktor bagi mendapatkan kontrak Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tertuduh, Muhammad Syamsi Irwan Hawalit, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, di sini, tadi.

Dia dituduh atas empat pertuduhan menerima suapan bagi membantu sebuah syarikat kontraktor mendapatkan projek di Maktab PDRM Kuala Kubu, Selangor.

Muhammad Syamsi Irwan Hawalit, 47, didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM80,000 dan sebuah motosikal Yamaha XMAX bernilai RM22,200 daripada seorang kontraktor sebagai balasan mendapatkan kontrak perolehan perkhidmatan pembersihan di Maktab PDRM Kuala Kubu Selangor

Ia sebagai balasan mendapatkan kontrak perolehan perkhidmatan memotong rumput, mencuci pejabat, bilik kuliah dan parit bernilai RM 1,589,626.80 yang dianugerahkan kepada syarikat milik kontraktor itu di Serdang dan Kajang, Selangor antara Jun 2017 dan 18 Mac 2019.

Ketika kejadian tertuduh adalah Penolong Setiausaha di Bahagian Perolehan KDN dengan Gred M44. Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Ruzilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua empat pertuduhan. Mahkamah turut mengarahkan tertuduh untuk melapor diri pada setiap bulan di pejabat SPRM Selangor dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh pengurusan kes. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Nor Hafidzuddin. – Harian Metro

Google ads
Back to top button