Buletin

AUTOMOTIVE REPUTATION REPORT 2022, TESLA PALING COROT. MEMANG DAH BOLEH AGAK…

Reputation yang berpangkalan di California baru sahaja mendedahkan keputusan Automotive Reputation Report 2022. Reputation menganalisis 20,000 peniaga di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, 35,000 di seluruh dunia, sambil meninjau lima juta penilaian termasuk ulasan pengedar kereta.

Setiap pembuat kereta menerima skor reputasi keseluruhan. Tahun ini menyaksikan Lexus, Infiniti, Subaru dan BMW menempatkan diri dalam kelompok teratas untuk kedua-dua jenama bukan mewah dan mewah di AS. Berbanding dengan hampir semua jenama lain, Tesla mendapat reputasi yang suram walaupun jualannya meroket tahun ini.

Sebelum kita mengkaji lebih mendalam mengenai kedudukan, adalah wajar untuk menerangkan Reputation Score dengan lebih terperinci. Diukur daripada 1,000 mata keseluruhan, skor tersebut mengambil kira aspek sentimen, keterlihatan dan penglibatan daripada sesebuah pembuat kereta.

Ulasan amat penting, kerana 70 peratus pengguna mengatakan bahawa mereka sanggup mengembara sejauh 20 batu ke pengedar jika mereka tahu ia mempunyai rating teratas.

Dari segi jenama bukan mewah AS, Subaru menduduki tempat pertama dengan skor reputasi 698. Kedudukan teratas Subaru sejajar dengan Kajian Kesetiaan Jenama Automotif J.D. Power pada tahun lepas yang menyenaraikan jenama Jepun itu paling tinggi dalam kalangan jenama pasaran massa.

Mengikuti Subaru dalam penarafan skor reputasi untuk jenama bukan mewah AS ialah Mitsubishi (689 mata) yang telah menyaksikan peningkatan mendadak berbanding pada tahun 2020, apabila ia hanya menduduki tempat ke-17 dalam kajian yang sama. Toyota berada di belakang Mitsubishi dengan 679 mata, Nissan (675), Honda (667) dan Kia (653).

Jenama yang berada di kedudukan terbawah dalam senarai bukan mewah ialah RAM (610), Jeep (609), Chrysler (609), Dodge (608) dan Fiat (607). Jenama itu semuanya berada di bawah payung Stellantis, jadi jelas terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan.

Menjangkakan Fiat berada dalam kedudukan tertinggi di AS agak mustahil kerana penguasaan pasarannya yang kecil. Namun, agak mengecewakan untuk melihat jenama seperti RAM, Jeep dan Dodge berada dalam kedudukan begitu teruk.

Dalam kategori jenama mewah AS, Lexus menduduki tempat pertama dengan 749 mata, paling banyak untuk mana-mana jenama tunggal. Konsistensi Lexus dalam memberikan pengalaman pemilikan kelas premium daripada model UX hinggalah model LC yang eksotik amat mengagumkan.

Infiniti berada di belakang Lexus dengan 728 mata, diikuti oleh BMW (696), Porsche (681) dan Acura (670).

Purata industri untuk jenama mewah ialah 608 mata. Paling mengejutkan di sini ialah Tesla yang tampil sebagai jenama berprestasi paling buruk dengan 456 mata. Skor penglibatan Tesla hanya 3 peratus.

Mungkin bukan satu kejutan hebat untuk syarikat yang membubarkan jabatan PRnya. Malah ia juga jauh di bawah par dari segi sentimen dan keterlihatan.  Syarikat Elon Musk itu juga berprestasi buruk di pasaran utama lain seperti Kanada dan UK, jadi masalah ini bukan hanya khusus untuk AS.

Harus diakui bahawa Tesla mempunyai peminat setia, tetapi dengan pelbagai masalah seperti protes daripada pemilik di Norway, sesetengah pelanggan menghadapi masalah keselamatan, selain kegagalan Tesla berinteraksi dengan baik menyebabkan reputasi mereka jatuh dengan sangat teruk.

Google ads
Back to top button