Buletin

KECEWA MOTOSIKAL DISITA DAN ENGGAN BAYAR RASUAH, LELAKI MAUT AKIBAT BAKAR DIRI

Seorang lelaki Uganda berusia 29 tahun maut selepas membakar diri di dalam sebuah balai polis.

Tindakan berani itu dibuat kerana mangsa berasa sangat kecewa motosikalnya disita dan pegawai polis meminta rasuah sebanyak AS$40 (RM170) untuk melepaskannya.

Mangsa yang bekerja sebagai rider bora bora (macam Gojek) menggunakan motosikal itu sebagai ‘teksi’ dan ia disita kerana melanggar perintah kawalan pergerakan.  

Kes itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat yang menyatakan anggota polis melakukan salah guna kuasa. Polis didakwa sering memukul, menahan dan melakukan ugutan ke atas orang awam yang melanggar perintah kuarantin.

Hussein Walugembe sebelum itu memberitahu motosikalnya disita selepas ditunggang oleh seorang rakannya. Beberapa hari kemudian, dia pergi ke balai polis yang terletak di bandar Masaka.

Malangnya, beberapa orang pegawai polis mahu dia memberi rasuah. Selepas rayuannya ditolak, dia kemudian menyimbah minyak petrol yang dibawanya ke badan sebelum menyalakan api.

“Walugembe cuba untuk menarik seorang pegawai polis, tetapi dia berjaya melarikan diri dan mengalami kecederaan kecil,” kata polis dalam satu kenyataan.

Polis kini menyiasat dakwaan ugutan dan rasuah di balai terbabit, dua orang anggota polis turut ditahan.  

Uganda melaksanakan perintah kuarantin paling tegas di benua Afrika dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di sana. Apabila jangkitan kembali rendah kepada 1,000 kes tanpa kematian, kerajaan telah memberi sedikit kelonggaran. – Reuters

Google ads
Back to top button