Jorge Lorenzo sebentar tadi membuat pengumuman mengejutkan berkenaan persaraannya dalam perlumbaan MotoGP dalam satu sidang media yang diadakan sebentar tadi.
Bertempat di pusingan akhir MotoGP 2019, Valencia minggu ini, pelumba pasukan Honda itu memberitahu bahawa minggu ini adalah perlumbaan terakhir beliau dan baki kontrak tahun hadapan di Repsol Honda tidak akan diteruskan.
Dalam sidang media khas yang turut disertai CEO Dorna, Carmelo Ezpeleta, beliau memberitahu bahawa doktor menasihatkannya supaya bersara atas faktor kecederaan yang dialaminya sebelum ini.
Lorenzo mengalami kecederaan sejak September tahun lalu namun keretakan tulang sewaktu insiden di Assen pada Jun lalu menjadikannya bertambah buruk.
“Seperti yang anda bayangkan, harinya sudah tiba. Ia adalah perlumbaan terakhir saya dalam MotoGP.
“Pada awalnya saya fikir untuk umumkan persaraan selepas mengalami kecederaan di Assen, tapi setelah fikir semasak-masaknya keputusan muktamad saya buat selepas pusingan di Malaysia”
Perlumbaan Malaysia pada 2010 adalah kenangan beliau paling berharga apabila beliau mendapat kemenangan pertama MotoGP.
Dalam sidang media itu juga, Lorenzo kelihatan beremosi. Beliau juga meminta maaf kepada Honda dan pengurus pasukan Alberto Puig berikutan prestasinya yang teruk sepanjang tahun ini.
Ezpeleta menambah: “Sejurus mendapat tahu keputusan dari Lorenzo, kami bercakap dengan FIM dan saya gembira untuk memberitahu bahawa beliau akan dinobatkan sebagai MotoGP Legend pada perlumbaan Spanish Grand Prix di Jerez nanti”
Pengunduran Lorenzo bermakna kerusi pelumba kedua Honda-Repsol kini kosong untuk musim 2020.
Buat masa ini, Johan Zarco dilihat calon paling layak menggantikan tempat Lorenzo bagi mengiringi Marc Marquez bagi musim tahun depan.
Lorenzo menyertai MotoGP ketika memenangi dua kali kejuaraan 250cc pada 2008. Beliau memperolehi 44 kemenangan dan dua kejuaraan dunia bersama Yamaha sebelum berpindah ke Ducati pada 2017.
Penyertaannya ke kem Honda dibuat selepas mendapat kemenangan pertama bersama Ducati pada 2018. Jangkaan awalnya, inilah pasukan yang menjadi idaman ramai – dua juara dunia bergabung dalam pasukan Honda.
Namun apa yang dirancang sebagai “pasukan impian” menjadi mimpi ngeri buat Lorenzo apabila kecederaan demi kecederaan akibat beberapa insiden yang bermula di penghujung musim bersama Ducati dan retak tulang pergelangan tangan sewaktu latihan musim sejuk.
Beliau yang merancang untuk mendapat kejuaraan dari TIGA pengeluar berbeza hanya mampu menghabiskan tempat ke-11 bersama pasukan Honda Repsol pada musim pertamanya tahun ini.
Selamat Tinggal Sang Juara!