
HYUNDAI DINOBATKAN JUARA WRC 2019 – MENANG AKHIRNYA!
Kejohanan Rali Dunia (WRC) FIA sepatutnya berakhir di Australia pada 14 hingga 17 November bagi menentukan pengeluar yang bakal menjadi juara. Persaingan yang dibawa ke pusingan itu begitu sengit selepas Toyota hanya ketinggalan 18 mata di belakang Hyundai.
Lebih menarik perhatian apabila Toyota sudah pun menggenggam kejuaraan kategori pemandu yang diperoleh pada pusingan sebelum itu di Catalunya.
Kejadian alam tidak terduga dan kemenangan berpihak kepada Hyundai selepas pusingan di Australia dibatalkan akibat kebakaran belukar di daerah New South Wales.
Kemenangan kategori pengeluar ini sangat manis kerana ia kali pertama sejak Hyundai menyertai WRC pada tahun 2000. Hyundai menamatkan program WRC mereka pada September 2003 dan kembali semula pada musim 2014.
Pada musim ini, Hyundai Motorsport mencatatkan prestasi baik apabila memenangi empat pusingan iaitu Tour de Corse, Rally Argentina, Rally Italia Sardegna dan Rally de España termasuk 13 kejayaan pasangan pemandu di atas podium.
Ini adalah persembahan paling versatil pasukan dengan jentera Hyundai i20 Coupe WRC dengan prestasi konsisten dan kompetitif di pelbagai jenis permukaan rali.
Pasangan pemandu Thierry Neuville dan Nicolas Gilsoul memperolehi tiga kemenangan dan menyumbang kepada tempat kedua bagi Thierry Neuville dalam kategori pemandu.
Dani Sordo dan Carlos del Barrio pula memperolehi kemenangan pertama bersama pasukan Hyundai Shell Mobis WRT di Sardinia.
Sepasang lagi pemandu iaitu Andreas Mikkelsen dan Anders Jæger-Amland memenangi tiga podium dan turut menyumbang kepada keputusan terbaik pasukan dengan podium 1-2 di Rali Argentina.
Sébastien Loeb dan Daniel Elena juga menyumbang kepada kekuatan pasukan.
Sepanjang penglibatan sejak 2014, Hyundai Motorsport mencatatkan aksi baik dan konsisten cuma kemenangan masih belum muncul. Pada 2017, Hyundai menang di empat pusingan dan tiga pada 2018.
Sejak bermulanya musim 2019 dan di bawah Pengarah Pasukan Andrea Adamo, objektif Hyundai Motorsport adalah jelas iaitu bertarung bagi memperolehi kejuaraan dunia pertama.
Dengan saingan sengit dari pasukan lawan, strategi Hyundai ialah mengekalkan dan menambah kelebihan mereka di kedudukan atas sebelum musim perlumbaan tamat.
Strategi tersebut nyata berjaya dan musim 2020 bakal mengujakan apabila juara pemandu musim ini iaitu Ott Tänak berpindah dari Toyota ke Hyundai.

BACA: HYUNDAI VELOSTER N MENANG KERETA BERPRESTASI ROAD & TRACK, KALAHKAN SUPRA DLL!
BACA: HYUNDAI BISIMOTO VELOSTERAPTOR N CONCEPT, MAHU LAWAN TYPE R
BACA: OTT TÄNAK PINDAH KEM, DARI TOYOTA KE HYUNDAI UNTUK WRC 2020