Buletin

TESLA NAK BUAT AIRCOND PULA. DAIKIN RASA TERANCAM, MUNGKIN MAHU JALIN KERJASAMA

Hasrat pemilik Tesla, Elon Musk untuk terjun ke dalam perniagaan pendingin hawa kediaman membuatkan pengeluar barangan perkasasan rumah itu susah hati. 

Kerisauan itu jelas apabila eksekutif kanan Daikin Industries menyatakan secara terbuka mahu bekerjasama dengan Tesla. 

“Pendingin hawa ialah projek yang ingin saya buat dan mungkin mahu mulakan pada tahun hadapan. Saya fikir kami boleh hasilkan sistem pendingin hawa, pengaliran dan pemanas udara (HVAC) yang senyap dan sangat efisien. Ia juga mempunyai penapis lebih baik untuk menapis partikal dan tahan lasak,” kata Musk. 

Namun, masih terlalu awal untuk melihat maklum balas daripada pembuat pendingin hawa seperti Fujitsu, Mitsubishi dan syarikat-syarikat lain mengenai perkembangan ini.   

“Langkah terbaharu Tesla ini sememangnya memberi ancaman besar,” kata seorang eksekutif Daikin. Tetapi seorang lagi ekskutif Daikin melihatnya sebagai satu peluang perniagaan. “Kami mungkin boleh bekerjasama dengan Tesla,” katanya. 

Idea untuk menghasilkan pendingin hawa timbul apabila pasukan reka bentuk Tesla membangunkan pam haba di dalam kereta yang berfungsi mengawal suhu.

SUV Tesla Model Y yang dihasilkan pada tahun ini mempunyai ciri pam haba yang didakwa mampu menambah baik kecekapannya. 

Pam itu juga meningkatkan jarak perjalanan dalam suhu lebih sejuk berbanding sistem pemanasan tradisional. Dalam satu acara melibatkan pelabur, Musk menyifatkan inovasi itu sebagai sesuatu yang luar biasa. 

“Ia kecil, efisien dan mestilah boleh bertahan sehingga 15 tahun. Pendingin hawa ini juga perlu berfungsi dalam pelbagai kondisi seperti musim sejuk paling sejuk dan musim panas yang paling panas. Kami sudahpun melakukan banyak tugasan yang perlu untuk membangunkan HVAC kediaman yang hebat,” katanya. 

Musk memberitahu pendingin hawa itu mungkin boleh berkomunikasi dengan kereta dan tahu bila anda akan pulang ke rumah. 

Sejak beberapa tahun lalu, Tesla memperkasakan perniagaan tenaga apabila melancarkan bateri rumah Powerwall pada tahun 2015 dan membeli syarikat pemasang panel solar Amerika, SolarCity setahun kemudian.

Menurut penganalisis, apabila teknologi-teknologi ini digabungkan, ia mampu menawarkan penjimatan tenaga kepada pengguna. 

Untuk makluman, sistem pemanas dan pendingin hawa merangkumi 30 hingga 40 peratus tenaga yang digunakan oleh isi rumah biasa. 

Google ads
Back to top button