HONDA CITY HATCHBACK DILANCARKAN DI THAILAND. 1.0 LITER TURBO. MASUK MALAYSIA TAHUN DEPAN?
Honda baru sahaja melancarkan City Hatchback ke pasaran Thailand. Didatangkan dalam tiga varian, jentera itu bakal mengambil alih peranan yang sebelum ini dimainkan oleh Jazz untuk pasaran ASEAN.
Sebaliknya, Jazz kini hanya disasarkan untuk pengguna di Jepun dan Eropah sahaja.
Di Thailand, ity Hatchback ditawarkan pada harga bermula 599,000 baht (RM80,776) untuk varian S+. Manakala varian SV berharga 675,000 baht (RM91,000) dan varian paling tinggi RS boleh dimiliki pada harga 749,000 baht (RM101,000) seunit.
Seperti dijangka, jentera tersebut tampil dengan gayaan yang hampir sama dengan model sedan City terutama pada bahagian hadapan. Gril radiator, lampu utama, lampu DRL dan bampar semuanya sama. Garis badan pada bahagian sisi juga tidak berubah.
Perubahan paling besar pastinya pada bahagian belakang. Lampu belakang yang nampak seperti lampu BMW itu digabungkan sempurna bersama rekaan bampar dan spoiler bumbung yang sporty.
Persamaan dengan model sedan itu diteruskan ke ruang kabin. Lihat sahaja pada rekaan dan susun atur komponen di bahagian papan pemuka. Ia dipasang dengan sistem infohibur bersaiz 8 inci lengkap bersama ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Bahagian bawahnya dihuni oleh tiga dial kawalan pendingin hawa, ruang menyimpan barang dan dua slot USB. Konsol tengah pula menempatkan tuil gear, perehat tangan dan ruang untuk anda mengisi barang-barang peribadi.
Untuk pemandu, anda dihidangkan dengan meter analog dan paparan multi-info di tengah-tengahnya. Stereng dengan butang kawalan juga sama seperti sedan City.
Sebagai pengeluar yang pakar dalam menghasilkan kenderaan praktikal, City Hatchback dilengkapi tempat duduk fleksibel dan mudah untuk dilipat. Walaupun ia mungkin tidak sebagus ultra seat yang ada dalam Jazz, namun ia sudah cukup untuk memenuhi keperluan anda.
Honda Thailand menawarkan City Hatchback dalam enam warna iaitu merah, putih mutiara, kelabu metalik, hitam dan putih. Aksesori original Modulo seperti spoiler belakang, pelindung hendal pintu dan plat pada but juga ada disediakan.
City Hatchback dikuasakan oleh enjin turbo tiga selinder bersesaran 1.0 liter yang mampu menjana 122PS dan tork 173Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT atau manual.
Bagi pasaran Malaysia, besar kemungkinan hatchbak itu akan menggunakan enjin NA 1.5 liter dan rangkaian kuasa hibrid seperti yang ditawarkan pada sedan City sekarang.
Jadi, adakah City Hatchback akan tiba di Malaysia? Jawapannya, YA. Tidak mustahil ia akan dilancarkan pada suku pertama atau kedua tahun hadapan. Kita tunggu sahaja…
- BACA: HONDA CITY HATCHBACK DILANCARKAN HARI INI DI THAILAND. MENAWARKAN 3 VARIAN?
- BACA: HONDA CITY TERIMA 9,000 TEMPAHAN. VARIAN V, WARNA PUTIH PALING LAKU
- BACA: KOS PENYELENGGARAAN HONDA CITY 2020, SEDAN SEGMEN B PALING LARIS
- BACA: PANDU UJI: HONDA CITY RS 2020. ENJIN POWER, PENGENDALIAN MANTAP, HONDA SENSING. NAK APA LAGI?
GALERI