Buletin

SAYONARA JEPUN, PENGGUNA THAILAND MULA BERALIH KEPADA EV DARI CHINA

Sejak ketibaan segmen kenderaan elektrik dalam industri, ramai pengeluar terutamanya dari China, berlumba-lumba untuk menguasai segmen berkenaan di pasaran global.

Sehingga kini, harus diakui bahawa kenderaan elektrik dari China sering berada di atas jalan raya berbanding pesaingnya, Jepun.

Di Asia Tenggara, pasaran tumpuan pastinya terarah kepada Indonesia serta Thailand di mana melihat perkembangan di kedua-dua negara, kenderaan elektrik China semakin diterima oleh pengguna.

Dek kerana penguasaan China, pengeluar Jepun terpaksa menelan hakikat pahit bahawa mereka sedang ketinggalan, bahkan pengguna jenama dari Jepun di Thailand mula beralih arah kepada jenama China seperti BYD atau GWM.

Pelaburan China bernilai AS$1.44 bilion (RM6.7 bilion) sejak 2020 seakan-akan berbaloi dan berjaya membentuk semula industri auto Thailand apabila syarikat yang mempunyai hubungan lama dengan syarikat Jepun, seperti Siam Motors, telah mencari perkongsian baharu.

Tambahan, pengeluar dari China turut meningkatkan eksport selain membina hab pengeluaran luar negara, sekali gus membolehkan kenderaan elektrik keluaran mereka diberi tanda harga yang kompetitif.

Pengguna kenderaan elektrik asal Bangkok, Pasit Chantharojwong, sebelumnya memandu Toyota Corolla selama sedekad setengah membuat keputusan untuk beralih kepada Ora Good Cat milik Great Wall tahun ini.

“Saya tidak ingin kembali ke kereta enjin pembakaran lagi,” ujar guru berusia 55 tahun itu.

Untuk rekod, hampir 850,000 kereta baharu didaftarkan di Thailand tahun lepas, hanya sekitar 1 peratus adalah EV namun antara Januari hingga April tahun ini, perkadaran itu meningkat lebih daripada 6 peratus.

Pertumbuhan itu dibantu oleh BYD, di mana ia kini menjadi peneraju pasaran, diikuti oleh SAIC China, Hozon dan Tesla.

Hanya 11 EV baru didaftarkan tahun ini datangnya dari Toyota, sementara jenama dominan seperti Isuzu dan Honda menyumbang hampir 70 peratus daripada keseluruhan jualan kenderaan tahun lepas di Thailand.

Secara keseluruhan, dasar kerajaan negara Gajah Putih itu semakin membuahkan hasil terutamanya bagi mencapai sasaran 30 peratus penggunaan kenderaan elektrik menjelang 2030.

“Kami sedar bahawa jika kami ingin menjadi hab EV di rantau ini, kami tidak boleh hanya membina industri pemasangan kereta,” kata Setiausaha Agung Lembaga Pelaburan Thailand, Narit Therdsteerasukdi.

“Kami juga perlu mengukuhkan keseluruhan ekosistem EV di negara ini selain, memperkenalkan tarif lebih rendah ke atas import dengan syarat pemasangan tempatan serta beberapa pelepasan cukai untuk pembuatan EV.”

Google ads
Back to top button