
TIADA LAGI MODEL GANTIAN TOYOTA 86?
Menurut laporan dari Jepun, berkemungkinan besar tiada lagi model generasi kedua Subaru BRZ dan Toyota 86. Menurut Best Car sebuah tabloid automotif yang berpangkalan di Jepun yang akan melaporkan pada edisi 26 Februari bahawa kembar Toyobaru akan dibatalkan.
Kedua-dua pengeluar itu dikatakan mengambil keputusan untuk menamatkan model masing-masing. Dan jika menurut pelbagai spekulasi, ia mungkin akan memberi laluan kepada pembinaan semula Toyota MR2.
BACA: MR2 INI CUMA RM12,000
Penamatan BRZ dan 86 mungkin juga disebabkan oleh kemunculan semula Toyota Supra A90. Walaupun dilancarkan pada mulanya dengan enjin enam selinder untuk pasaran dunia, di Jepun Toyota akan menawarkan versi empat silinder yang menghasilkan 197 kuasa kuda. Itu bermaksud, ia hanya kurang lapan kuasa kuda berbanding Toyota 86.
Antara berita yang didengari sejak enam bulan lalu ialah khabar angin mengenai kereta sport Subaru yang akan menggunakan enjin tengah (MR). Sekiranya benar, Toyota sekali lagi boleh menjadi rakan kongsi dan menghasilkan semula MR2.

Akio Toyoda telah berkata bahawa impiannya ialah mempunyai tiga barisan kereta sport Toyota. Beliau menggelarnya Three Brothers dan memandangkan tidak banyak beza antara 86 dan Supra, MR2 sepatutnya boleh menggantikan 86.
Dalam senario ini, sesuatu yang lebih kecil seperti konsep Toyota S-FR boleh menjadi “adik” ketiga.
Atau, Toyota dan Subaru masih boleh meneruskan mengembangkan kereta sport entry level mereka secara berasingan. Tetapi seperti yang dapat kita lihat, Toyota seolah-olah tidak mampu menghasilkan kereta sport mereka sendiri.